Covid-19: Politeknik Hulu Terengganu bantu penuntut luar kampus

Penuntut PHT yang tinggal di rumah sewa gembira dengan bantuan diberikan kepada mereka. -Foto PHT
Penuntut PHT yang tinggal di rumah sewa gembira dengan bantuan diberikan kepada mereka. -Foto PHT
A
A
A

HULU TERENGGANU – Penuntut Politeknik Hulu Terengganu (PHT) yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan penularan wabak Koronavirus (Covid-19) di luar kampus mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan dari PHT.

Semalam, Ketua Program Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti PHT, Fahimdin Mohd Yusof @ Kamal bersama lima kakitangan lain turun padang mengagihkan keperluan asas berupa makanan kering dan bahan mentah kepada 20 penuntut yang menetap di tujuh rumah sewa.

Bantuan tersebut adalah sumbangan dari Tabung Harapan PHT, Alumni PHT, Pejabat Parlimen Hulu Terengganu dan Persatuan Kebajikan Sahabat Cakna Masyarakat Sejahtera Terengganu (SCM).

Pengarah PHT, Wan Mohd Hujjatullah Wan Ghazali berkata, barang tersebut amat diperlukan penuntut yang tidak pulang ke kampung dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan demi kelangsungan hidup.

“Kebanyakan penuntut memerlukan bantuan dalam mendapatkan bekalan makanan kering dalam tempoh ini. Sumbangan ini diharap dapat meringankan sedikit beban mereka.

“Keprihatinan kerajaan, syarikat swasta, NGO dan individu terhadap nasib penuntut PHT dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini sangat membanggakan dengan sumbangan disalurkan terus ke kampus PHT.

“Ia juga bagi menzahirkan sifat cakna dan keprihatinan daripada pihak komuniti terhadap kebajikan penuntut yang berada jauh dari keluarga mereka dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PHT turut melancarkan Program Dapur PHT dengan memberikan bantuan barang dapur seperti beras, sardin, tepung, kicap, minyak masak, biskut, gula, teh, mee segera dan telur kepada pelajar yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Kuala Berang.

Artikel Berkaitan: