Kim Kardashian tidak percaya manusia pergi bulan, NASA beritahu sudah enam kali ke sana

Kim Kardashian
Kim Kardashian
A
A
A

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara Amerika Syarikat (NASA) menegaskan misi pendaratan manusia di bulan telah berlaku enam kali selepas bintang realiti, Kim Kardashian menyatakan keraguannya terhadap kejayaan misi Apollo 11 pada 1969 menerusi siri The Kardashians dalam perkhidmatan penstriman Hulu. 

Dalam episod terbaru itu, Kardashian memetik video temu bual Buzz Aldrin yang diambil secara salah tafsir lalu menyimpulkan bahawa pendaratan di bulan itu tidak berlaku.

Aldrin yang kini berusia 95 tahun dalam rakaman asal hanya menekankan bahawa tiada saat menakutkan berlaku semasa misi itu tetapi kenyataannya telah diambil di luar konteks.

Menjawab dakwaan itu, Sean Duffy, Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat dan pentadbir NASA sementara, menulis di platform X: “Ya, @KimKardashian, kami telah ke Bulan sebelum ini... Enam kali!”

Beliau turut menegaskan Amerika Syarikat akan kembali ke bulan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump dengan misi Artemis II dijadualkan pada 2026 untuk perjalanan 10 hari mengelilingi bulan sebelum pendaratan dirancang pada 2027.

Misi Apollo 11 yang menyaksikan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin menjejakkan kaki di bulan pada 20 Julai 1969 disiarkan secara langsung dan ditonton oleh puluhan juta orang di seluruh dunia.

Walaupun teori konspirasi misi palsu telah muncul sejak 1970-an, kenyataan NASA menegaskan pencapaian itu adalah sah dan terbukti secara saintifik.

Rakaman itu sekali lagi mencerminkan pengaruh besar Kardashian dalam menarik perhatian global, namun pihak NASA menegaskan fakta saintifik tidak boleh diabaikan. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • NASA menegaskan misi pendaratan manusia di bulan telah berlaku enam kali selepas Kim Kardashian menyuarakan keraguannya
  • Kim Kardashian meragukan kejayaan misi Apollo 11 berdasarkan video temu bual Buzz Aldrin yang disalah tafsir
  • Buzz Aldrin menekankan dalam rakaman asal tidak ada saat menakutkan berlaku semasa misi, bukan menafikan pendaratan di bulan
  • Amerika Syarikat berancang untuk kembali ke bulan dengan misi Artemis II pada 2026 dan pendaratan pada 2027 di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump
  • Teori konspirasi tentang misi Apollo 11 palsu muncul sejak 1970-an, namun NASA menegaskan pencapaian tersebut sah dan terbukti secara saintifik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!