China hantar angkasawan termuda, tikus ke Stesen Angkasa Tiangong

Angkasawan misi angkasa China Shenzhou-21, Zhang Hongzhang (kiri), Komander Zhang Lu (tengah) dan Wu Fei (kanan), melambaikan tangan semasa upacara pelepasan sebelum berangkat menaiki bas menuju ke kapal angkasa Shenzhou-21 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Gurun Gobi, barat laut China. -AFP
Angkasawan misi angkasa China Shenzhou-21, Zhang Hongzhang (kiri), Komander Zhang Lu (tengah) dan Wu Fei (kanan), melambaikan tangan semasa upacara pelepasan sebelum berangkat menaiki bas menuju ke kapal angkasa Shenzhou-21 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Gurun Gobi, barat laut China. -AFP
A
A
A

JIUQUAN – Tiga angkasawan China, termasuk yang termuda pernah dihantar ke orbit, berjaya berlabuh di Stesen Angkasa Tiangong awal pagi Sabtu bersama empat ekor tikus makmal.

Menurut agensi berita rasmi Xinhua, kapal angkasa Shenzhou-21 berlabuh pada jam 3.22 pagi waktu tempatan (7.22 malam Jumaat GMT), kira-kira tiga jam setengah selepas berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China menggunakan roket Long March-2F.

Stesen Angkasa Tiangong yang menjadi nadi utama program angkasa China, menempatkan tiga angkasawan pada setiap masa dan diganti setiap enam bulan. Ia melambangkan pencapaian besar China yang telah melaburkan berbilion dolar untuk menyaingi dominasi Amerika Syarikat dan Rusia dalam penerokaan angkasa lepas.

Roket pembawa Long March-2F yang membawa kapal angkasa Shenzhou-21 bersama tiga angkasawan berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China. Misi terbaharu ke stesen angkasa Tiangong itu turut menampilkan angkasawan termuda negara itu serta empat ekor tikus makmal.-AFP
Roket pembawa Long March-2F yang membawa kapal angkasa Shenzhou-21 bersama tiga angkasawan berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Gurun Gobi, barat laut China. Misi terbaharu ke stesen angkasa Tiangong itu turut menampilkan angkasawan termuda negara itu serta empat ekor tikus makmal.-AFP

China kini memiliki rancangan berani untuk menghantar misi berawak ke Bulan menjelang akhir dekad ini dan kemudiannya membina pangkalan kekal di permukaan lunar.

Misi Shenzhou-21 diketuai oleh komander berpengalaman Zhang Lu, bersama jurutera penerbangan Wu Fei, 32 tahun, angkasawan termuda China yang pernah dihantar ke orbit – serta pakar muatan Zhang Hongzhang, 39 tahun.

Ketiga-tiga mereka dilihat melambai kepada rakan sekerja dan ahli keluarga di tapak pelancaran di Gurun Gobi sebelum berlepas, diiringi alunan lagu patriotik.

Zhang Lu berkata kepada media bahawa beliau yakin pasukannya akan “melapor kembali kepada tanah air dan rakyat dengan kejayaan sepenuhnya.”

Wu Fei pula menyifatkan peluang menyertai misi itu sebagai sesuatu yang “amat bertuah dan tidak ternilai.”

Artikel Berkaitan:

Turut dibawa bersama mereka ialah empat ekor tikus makmal, dua jantan dan dua betina bagi menjalani eksperimen pertama China melibatkan mamalia kecil di orbit, yang bertujuan memahami kesan graviti sifar terhadap organisma hidup.

Program angkasa China kini menjadi yang ketiga di dunia yang berjaya menghantar manusia ke orbit, selepas Amerika Syarikat dan bekas Kesatuan Soviet.

Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, Beijing terus mengorak langkah mencapai apa yang digelar sebagai “impian angkasa lepas”, dengan kejayaan mendaratkan penjelajah Chang’e-4 di bahagian jauh Bulan pada 2019 pencapaian pertama dalam sejarah dan menghantar robot Zhurong ke permukaan Marikh pada 2021.

Pada Khamis, Agensi Angkasa Berawak China (CMSA) mengumumkan beberapa ujian penting sebagai persediaan untuk misi ke Bulan menjelang tahun 2030.

Selain menjalankan penyelidikan saintifik, kru Shenzhou-21 dijangka melaksanakan aktiviti berjalan di angkasa (spacewalk) serta memasang perisai anti-serpihan angkasa di bahagian luar Tiangong. Mereka juga akan terlibat dalam aktiviti pendidikan sains, dalam usaha Beijing menarik minat generasi muda dan membina bakat baharu dalam bidang penerokaan angkasa lepas.

China telah dikecualikan daripada menyertai Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak 2011 selepas Amerika Syarikat melarang NASA daripada bekerjasama dengan Beijing. Sejak itu, China aktif membina kerjasama baharu dengan negara lain dan pada Februari lalu menandatangani perjanjian dengan Pakistan bagi merekrut taikonaut asing pertama dalam sejarah program angkasanya. – AFP

Ringkasan AI

  • Tiga angkasawan China berlabuh di Stesen Angkasa Tiangong awal pagi Sabtu bersama empat ekor tikus makmal
  • Kapal angkasa Shenzhou-21 berlabuh kira-kira tiga jam setengah selepas berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan
  • Stesen Angkasa Tiangong melambangkan pencapaian besar China dalam penerokaan angkasa lepas dan menempatkan tiga angkasawan pada setiap masa
  • China memiliki rancangan untuk menghantar misi berawak ke Bulan dan membina pangkalan kekal di permukaan lunar menjelang akhir dekad ini
  • Embatan Shenzhou-21 turut membawa empat ekor tikus makmal untuk menjalani eksperimen pertama China melibatkan mamalia kecil di orbit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!