MBI belanja RM30 juta setahun urus 600 tan sampah sehari

Zamakhshari (kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di Shell Jalan Hospital pada Sabtu.
Zamakhshari (kanan) menyempurnakan Majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di Shell Jalan Hospital pada Sabtu.
A
A
A

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun bagi tujuan pengurusan sisa pepejal di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, jumlah tersebut melibatkan kutipan kira-kira 600 tan sampah setiap hari daripada kawasan perumahan dan industri sebelum dilupuskan di pusat pelupusan sisa.

Menurutnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif kitar semula, termasuk kerjasama dengan beberapa syarikat swasta, dilihat dapat membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan serta memanjangkan jangka hayat kawasan tersebut.

"Jika tiada usaha kitar semula, jangka hayat tapak pelupusan yang sepatutnya bertahan 20 tahun mungkin akan berkurangan kepada hanya 15 tahun.

"Dengan adanya kitar semula, kita bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sampah, tetapi juga mengekalkan kelestarian bandar raya Ipoh agar kekal bersih, rendah karbon dan sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di Shell Jalan Hospital, di sini, pada Sabtu.

Zamakhshari berkata, sejak Jun hingga Oktober tahun ini, sebanyak 53,822 kilogram pakaian terpakai berjaya dikitar semula hasil kerjasama MBI dengan Life Line Clothing (M) Sdn. Bhd.

Selain itu, katanya, MBI turut bekerjasama dengan empat lagi syarikat lain bagi mengurus pelbagai jenis sisa seperti sisa elektronik, minyak masak terpakai, kotak minuman terpakai dan tayar terpakai.

Tambah beliau, usaha itu merupakan antara langkah MBI menyahut saranan kerajaan untuk membudayakan ekonomi kitaran, selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tahap kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula, Zamakhshari berkata, walaupun kesedaran sudah ada, masyarakat perlu terus dididik agar menjadikan tabiat itu sebahagian daripada gaya hidup.

"Kita tidak boleh terlalu menekankan aspek penguatkuasaan. Fokus kita sekarang adalah mendidik masyarakat supaya memahami kepentingan kitar semula.

"Setakat ini, MBI telah mengagihkan lebih 150,000 tong sampah kepada penduduk sebagai langkah awal mendidik mereka supaya membuang sampah dengan cara yang betul,” ujarnya.

Beliau berkata, apabila amalan kitar semula semakin berkembang, ia bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal, malah dapat menjimatkan kos operasi pengurusan sampah dalam jangka panjang.

Ringkasan AI

  • MBI membelanjakan RM30 juta setahun untuk pengurusan sisa pepejal
  • Kutipan sampah harian dari kawasan perumahan dan industri adalah kira-kira 600 tan
  • Inisiatif kitar semula dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sisa
  • Sebanyak 53,822 kilogram pakaian terpakai berjaya dikitar semula dari Jun hingga Oktober
  • Amalan kitar semula dapat menjimatkan kos operasi pengurusan sampah dan menjaga kebersihan bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!