RM30 juta bantu pelajar Islam lanjut pengajian tinggi

SEBERANG JAYA – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) memperuntukkan hampir RM30 juta tahun ini bagi membantu pelajar dan mahasiswa Islam di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid berkata, peruntukan itu termasuk RM20 juta menerusi Skim Dermasiswa Pengajian Tinggi yang meningkat berbanding RM19.5 juta pada tahun lalu.
Menurutnya, skim tersebut bukan sahaja tertumpu kepada pengajian Islam, malah turut merangkumi bidang profesional seperti kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain.
“Skim dermasiswa yang disediakan ini sekali gus membuktikan kecaknaan MAINPP dalam memartabatkan syiar Islam melalui pembangunan pendidikan umat di negeri ini.
“Skim ini turut merangkumi pengajian bermula dari peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Inisiatif ini selaras dengan agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 yang meletakkan pendidikan sebagai teras kedua selepas pembangunan sosioekonomi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Dermasiswa Pengajian Tinggi MAINPP 2025 pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhamad Kairi Ghazali; Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Sementara itu, Dr Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, sebanyak RM2.5 juta turut diperuntukkan untuk pelajar politeknik, manakala pelajar Tingkatan Enam daripada keluarga asnaf fakir miskin juga menerima bantuan secara ‘one-off’.
Katanya, MAINPP menyasarkan kutipan zakat meningkat daripada RM172.8 juta pada tahun lalu kepada RM200 juta tahun ini bagi memastikan agihan dapat dipertingkat, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Kita berharap para mahasiswa yang menerima bantuan hari ini kelak kembali sebagai graduan yang berjaya serta menjadi muzaki, iaitu pembayar zakat di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

