Muhyiddin dakwa Perjanjian Malaysia-AS penuh dengan peruntukan 'jerangkap samar, bom jangka'

SHAH ALAM - Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) didakwa mengandungi pelbagai peruntukan jerangkap samar atau bom jangka yang memudaratkan Malaysia di masa akan datang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, perjanjian tersebut juga sarat dengan pelbagai agenda penjajahan ekonomi yang mengancam kemerdekaan serta kedaulatan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan melaksanakan kajian semula ke atas Perjanjian ART 2025 ini dengan secepat mungkin, sebelum tamat tempoh moratoriumnya selama enam bulan, bermula minggu lalu.
"Kajian semula ini perlu dilaksanakan di pelbagai peringkat dan melibatkan seluruh pemegang taruh kemerdekaan serta kedaulatan negara.
"Seluruh kandungan Perjanjian ART 2025, baik yang melibatkan logam kritikal dan strategik milik Malaysia seperti nadir bumi, yang membabitkan pengimportan LNG (gas asli cecair) dari AS bernilai sekitar AS$3.4 bilion setahun, serta lain-lainnya, mesti diperjelaskan kepada seluruh pemegang taruh di Malaysia, termasuk ahli Parlimen.
"Sesi libat urus dengan seluruh pemegang taruh mengenai Perjanjian ART 2025 ini mesti diadakan dengan tersusun dan segera.
"Tujuannya, supaya perjanjian ini bersifat adil, tidak menindas dan tidak menjadi batu loncatan kepada niat AS untuk melaksanakan penjajahan cara baharu menerusi perdagangan dua halanya dengan Malaysia...dan supaya Malaysia tidak akan sekali-kali menjadi negara proksi, negara satelit, apatah lagi negara boneka kepada AS di hari-hari mendatang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendakwa, perjanjian yang disifatkan sebagai satu pencapaian diplomasi 'dua hala yang saling menguntungkan' oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump sangat meleset, amat tidak tepat dan terlalu mengelirukan.
Sedangkan tegas beliau, perjanjian yang menodai corak interdependensi atau kebergantungan perdagangan dua hala Malaysia–AS sepatutnya bebas daripada sebarang kongkongan kuasa asing.
Beliau mendakwa, seluruh agenda tersembunyi AS terkandung beberapa artikel atau peruntukan dalam perjanjian tersebut.
"Ia juga menuntut pembelian oleh syarikat Malaysia bernilai AS$150 bilion dalam lima tahun ke hadapan. Pembelian ini melibatkan semikonduktor, peralatan pusat data dan aeroangkasa.
"Komitmen di atas, yang melibatkan pengaliran keluar modal Malaysia ke AS, adalah satu bentuk pemindahan kekayaan yang berat sebelah," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai peruntukan larangan sekatan eksport ke atas sumber strategik seperti nadir bumi ke AS yang didakwa menjadikan kewajipan Malaysia untuk mendorong pembekalan nadir bumi berdasarkan terma yang menguntungkan AS.
"Peruntukan ini menunjukkan, ART 2025 menyebabkan Malaysia menyerahkan sebahagian kuasanya untuk mengawal sumber strategik miliknya, selaras dengan syarat yang memihak kepada AS.
"Ini adalah satu bentuk penghapusan terhadap autonomi dasar Malaysia dan menjejaskan keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan nasional serta kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.
"Lebih serius lagi, perjanjian ini dijangka mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara proksi atau negara satelit kepada AS di Asia Tenggara," dakwanya lagi.
Ringkasan AI
- Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) didakwa memudaratkan Malaysia
- Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa perjanjian tersebut mengandungi agenda penjajahan ekonomi oleh AS
- Beliau mendesak kajian semula perjanjian tersebut sebelum tamat tempoh moratoriumnya enam bulan
- Diklaim perjanjian itu menyebabkan Malaysia kehilangan kuasa atas sumber strategik dan memihak kepada AS
- Muhyiddin menuntut pembelian oleh syarikat Malaysia bernilai AS$150 bilion, menganggapnya sebagai bentuk pemindahan kekayaan yang berat sebelah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
