Rumah sewa jadi tempat 'cuci' dadah hampir RM3.9 juta diserbu

IPOH – Taktik licik sepasang suami isteri menjadikan rumah teres sewa di Taman Assamara, Taiping sebagai tempat memproses semula dadah terbongkar apabila polis merampas pelbagai jenis dadah dan bahan kimia bernilai hampir RM3.9 juta pada Rabu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, serbuan dijalankan hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 5.15 petang, 29 Oktober lalu.
Menurutnya, dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di tepi jalan berhampiran pasar Pokok Assam kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan ke sebuah rumah sewa di Taman Assamara.
"Pemeriksaan lanjut berjaya menahan seorang wanita berusia 26 tahun yang juga isteri suspek serta menemui pelbagai jenis dadah dan bahan kimia di dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita di IPK Perak di sini pada Jumaat.
Noor Hisam berkata, antara rampasan utama ialah enam paket plastik berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat lebih lima kilogram dan cecair disyaki mengandungi dadah seberat 84.75 liter.
Katanya, turut dirampas pelbagai peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan untuk ‘mencuci’ atau memproses semula dadah methamphetamine berkualiti rendah sebelum dijual di pasaran.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM2.8 juta.
"Dua buah kereta milik suspek turut disita menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan RM3.8 juta,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mula aktif sejak Ogos lalu dan dipercayai mengedarkan bekalan dadah ke luar negeri ini.
Jelasnya, jumlah rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh seramai 51,486 penagih.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori positif methamphetamine manakala isterinya yang tidak bekerja pula negatif.
Noor Hisam berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek lelaki mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala pasangannya tiada rekod dikesan.
"Polis turut menyiasat bagaimana pasangan terbabit memperoleh bekalan dadah untuk diproses semula serta penglibatan isteri dalam kegiatan berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan tersebut hasil risikan berterusan dan maklumat awam selain menzahirkan komitmen JSJN dalam memerangi pengedaran dadah di negeri ini.
Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.
Ringkasan AI
- Polis Perak merampas dadah dan bahan kimia bernilai hampir RM3.9 juta di Taiping
- Serbuan berdasarkan risikan membawa kepada penahanan seorang lelaki dan isterinya
- Antara yang dirampas termasuk methamphetamine seberat lebih lima kilogram dan cecair dadah 84.75 liter
- Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM2.8 juta
- Sindiket aktif sejak Ogos lalu dan dipercayai mengedarkan bekalan dadah ke luar negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

