'Al Khawla dipantau rapi, bergantung kepada ubat' - Mejar Mohd Fikry Amri mohon doa

SHAH ALAM – Selepas kehilangan anak sulung, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan maut selepas dihantar ke sebuah taska di Melaka tahun lalu, pasangan suami isteri itu akhirnya dikurniakan rezeki kembar tiga.
Bapanya, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40 berkata, namun daripada tiga bayi perempuan yang dilahirkan pada 24 Oktober lalu, seorang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Melaka.
"Kelahiran triplet adalah pada minggu ke-31 dan berada dalam keadaan bayi pra matang.
"Semuanya berkemungkinan menghadapi komplikasi dan memerlukan pemantauan rapi sehingga mencapai tempoh kematangan bayi normal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujarnya, anaknya yang pertama dan ketiga telah ditempatkan dalam Wad Rawatan Khas Bayi (SCN) dan berada dalam keadaan stabil.
"Bagaimana pun anak saya yang kedua ditempatkan dalam wad NICU dan berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan 24 jam pemantauan rapi oleh doktor pakar.

"Saya dan isteri mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan serta kesejahteraan anak-anak triplet kami berdua yang kini masih berada dalam wad NICU dan SCN di Hospital Melaka.
"Kami merayu agar pihak Hospital Melaka melakukan prosedur yang sebaiknya dan elakkan sebarang kecuaian untuk memastikan mereka selamat," katanya.
Mohd Fikry berkata, bayi kembarnya akan berada di wad berkenaan sehingga cukup minggu ke 35.
"Walau apa pun yang berlaku kami pasrah dan reda dengan segala ujian, segala ketentuan dan perancangan ALLAH SWT adalah yang terbaik buat kami.
"Semoga triplet semuanya kembali sihat dan selamat dengan izin-Nya. Doakan kami terus kuat," katanya.
Kisah pasangan berkenaan mendapat perhatian negara apabila anak sulungnya itu meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal dalam kejadian kira-kira 8 pagi 6 September 2024.
Media melaporkan tindakan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu dilihat menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum polis menahan reman pengasuh berkenaan dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Ringkasan AI
- Selepas kehilangan anak sulung, pasangan di Shah Alam dikurniakan kembar tiga
- Seorang daripada kembar tiga masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal di Hospital Melaka
- Kelahiran kembar tiga pada minggu ke-31 dan berada dalam keadaan pra matang
- Anak kedua dalam keadaan kritikal dan memerlukan pemantauan rapi 24 jam
- Kisah anak sulung meninggal selepas dihantar ke taska mendapat perhatian negara, pengasuh didakwa membunuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
