PKP: Buat perancangan aktiviti, rutin khusus untuk kesihatan mental

Kerja-kerja disinfeksi ini telah bermula pada 23 Mac sehingga 31 Mac dan akan diteruskan di pelbagai lokasi. - Foto Bernama
Kerja-kerja disinfeksi ini telah bermula pada 23 Mac sehingga 31 Mac dan akan diteruskan di pelbagai lokasi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Masyarakat diingatkan supaya membuat perancangan serta mewujudkan rutin harian khusus, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac bagi mengekalkan kesihatan mental yang baik.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Dr Firdaus Abdul Ghani berkata, pengurusan aktiviti harian yang tidak sistematik sepanjang tempoh ini, boleh memberi kesan kepada kesihatan mental sekali gus membawa kepada tekanan, disebabkan perubahan rutin yang mendadak.

Justeru katanya, masyarakat perlu merancang jadual aktiviti harian untuk seisi keluarga, bersesuaian dengan situasi bekerja dari rumah yang tidak menyebabkan peralihan masa ketara daripada rutin biasa sebelum pelaksanaan PKP.

"Kena amalkan penjagaan diri yang baik dan rutin harian yang jelas, bila bekerja dari rumah. Bersiap seperti biasa, bekerja pada waktu yang anda biasa bekerja di pejabat, serta pilih kawasan khusus yang sama setiap hari untuk bekerja," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Firdaus berkata masyarakat khususnya ibu bapa juga perlu merancang aktiviti untuk dijalankan di rumah sama ada secara harian atau mingguan, bagi mengisi masa dengan aktiviti berfaedah dan positif yang memberi kesan baik kepada minda.

"Ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak-anak sebab kita perlu duduk di rumah, kita mungkin rasa mereka tak perlu faham tetapi mereka juga ada akses kepada media, jadi penting untuk terangkan kepada mereka supaya tidak timbul rasa cemas dan bimbang, dalam kalangan kanak-kanak.

Firdaus berkata aktiviti spiritual seperti solat, doa dan meditasi juga penting, untuk pengukuhan rohani yang membantu membuatkan diri berasa lebih tenang, dalam mengatasi rasa kebimbangan.

Sementara itu, Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad berpendapat, penting untuk masyarakat berlapang dada menerima pelaksanaan PKP secara positif dan memahami tanggungjawab untuk patuh kepada arahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Jika kita menerima arahan itu secara negatif maka semua perkara negatif akan keluar contohnya tekanan, kebimbangan dan tak boleh tidur malam.

"Sebaliknya kita perlu menerima arahan itu secara positif, faham dan tanamkan dalam minda bahawa ia untuk keselamatan diri, keluarga dan orang ramai, termasuk mereka yang bekerja sebagai barisan hadapan di hospital," katanya.

Fauziah berkata, dalam memastikan kesihatan mental sentiasa stabil, masyarakat juga perlu sentiasa mendidik minda untuk melawan pemikiran negatif yang akan membawa kepada masalah tekanan.

"Semuanya bergantung kepada cognitive (pemikiran) anda. Contohnya jika pemikiran negatif anda berasa bosan, lawan balik rasa itu dengan fikir bahawa duduk di rumah ini penting untuk selamatkan nyawa.

"Kemudian ganti balik pemikiran negatif itu dengan buat perancangan aktiviti, inilah masa dan kesempatan untuk melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan sebelum ini. Jadikan tempoh ini sebagai masa menyeronokkan," katanya.

Pakar Psikoterapi dan Kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan), Dr Meriam Omar Din pula menyarankan, orang ramai mengelak daripada membaca berita palsu yang boleh menambah kepada rasa kebimbangan dalam situasi ini.

"Elakkan membaca info-info yang membuat kita marah atau bertambah risau. Fikiran negatif boleh menambah toksik pada orang yang sedang bimbang.

"Pesanan saya untuk yang terlalu bimbang, berhenti buka (atau menyertai) media sosial kumpulan (seperti Whatsapp group). Bicara atau mesej rakan yang rapat dan baik dengan anda saja. Pilih kawan yang positif sahaja," katanya.

Meriam juga mencadangkan agar masyarakat menggunakan kesempatan ini untuk bermesra dengan ahli keluarga di rumah dan tidak membincang atau melakukan perkara-perkara yang provokatif seperti isu politik dan sebagainya. -Bernama