Fasa pertama APSS bermula esok - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution. Foto Bernama
Saifuddin Nasution. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Fasa pertama pelaksanaan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) akan bermula esok, melibatkan 10 syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines (MAS), VietJet Air (Vietnam), Emirates (Emiriah Arab Bersatu), Scoot (Singapura) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menilai keberkesanan operasi dengan syarikat penerbangan terlibat sebelum diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa pada Mac 2026.

"Melalui APSS, maklumat penumpang disemak sebelum ketibaan di pintu masuk negara. Pendekatan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti potensi risiko keselamatan lebih awal serta mengambil tindakan sewajarnya secara proaktif, sekali gus memperkukuh aspek pencegahan.

"Pelaksanaan APSS mencerminkan kesungguhan KDN untuk memperkukuh keselamatan negara melalui penggunaan data dan teknologi. Sistem ini merupakan sebahagian reformasi kawalan imigresen yang membolehkan pengesanan awal individu berisiko tinggi sebelum tiba di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, jadual pelaksanaan APSS dipercepat dari Disember ke Oktober bagi memastikan pematuhan Malaysia kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) serta piawaian keselamatan global bawah Program Audit Keselamatan Sejagat-Pendekatan Pemantauan Berterusan (USAP-CMA) oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan awal APSS menunjukkan komitmen Kerajaan Madani tentang keselamatan rakyat serta kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global.

Pendekatan berasaskan teknologi itu turut memperkukuh daya tahan dan imej Malaysia sebagai hab penerbangan serta pelancongan yang selamat dan moden.

"APSS merupakan inisiatif bawah Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan pelaksanaan fasa pertama dikhususkan untuk penerbangan antarabangsa dengan tujuan menyaring serta menilai maklumat pengembara lebih awal bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.

"KDN yakin pelaksanaan APSS akan menjadi pemacu reformasi dalam usaha pendigitalan kawalan imigresen negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan perkhidmatan lebih cekap, selamat dan mesra rakyat,” katanya. - Vernama

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Fasa pertama pelaksanaan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) melibatkan 10 syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines
  • Pelaksanaan APSS membolehkan penilaian risiko keselamatan lebih awal melalui maklumat penumpang sebelum mereka tiba
  • APSS merupakan sebahagian daripada reformasi kawalan imigresen untuk mengesan individu berisiko tinggi
  • Pelaksanaan dipercepat untuk mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan piawaian global
  • APSS menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap keselamatan dan merupakan langkah menuju pendigitalan kawalan imigresen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!