Polis, nelayan didenda langgar Perintah Kawalan Pergerakan
MANJUNG - Dua lelaki termasuk seorang anggota polis dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan susulan koronavirus (Covid-19) dalam satu pemeriksaan Isnin lalu.
Mohamad Safarrudin Alias, 33, berpangkat koperal dan Nashrull Awang, 43, bekerja sebagai nelayan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati bergerak dari dua lokasi berasingan menuju ke satu kawasan sama di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan iaitu di dalam kawasan tempat jangkitan pada jam lebih kurang 4.15 pagi, 23 Mac lalu.
Mohamad Safarrudin yang bertugas di sebuah Balai Polis di Ipoh itu didapati bergerak dari Berek Polis Balai Kampung Rapat, Ipoh sementara Nashrull dari Lorong Bahagia, Kampung Serdang, Sitiawan.
Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Nur Shaqira kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Di mahkamah sama, Mohamad Safarrudin turut membuat pengakuan bersalah memiliki peralatan pecah rumah selepas pemeriksaan sama menjumpai barang-barang peralatan pecah rumah seperti pengikis, pemotong besi, kuku kambing, playar ragum dan pisau serbaguna di dalam beg sandang yang digalasnya.
Kesalahan itu dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 28(i) Akta Kesalahan-Kesalahan kecil 1955.
Mahkamah kemudiannya mengenakan denda RM250 atau seminggu penjara jika gagal bayar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, dalam rayuannya anggota polis berkenaan memohon bayaran denda dikurangkan atas alasan telah berkahwin dan menanggung anak.
Fatin Farahiyah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan tertuduh seorang anggota polis yang sepatutnya mematuhi dan memahami undang-undang.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Nashrull turut mengaku bersalah memiliki sarang burung walit dianggarkan seberat 415 gram.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 28(1) Akta Kesalahan-Kesalahan kecil 1955 selepas didapati tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana mendapatkan sarang burung walid berkenaan.
Atas kesalahan-kesalahan itu, tertuduh dikenakan denda RM600 atau sebulan penjara jika gagal bayar.