Hamizi didakwa tetak sepupu hingga maut

Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian mangsa

Hamizi (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya hingga maut dalam kejadian Jumaat lalu.
Hamizi (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Tumpat atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya hingga maut dalam kejadian Jumaat lalu.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh sepupu isterinya hingga maut dengan kaki kanan serta tangan kiri terputus akibat ditetak.

Tertuduh, Hamizi Hamzah, 45 didakwa di hadapan Majistret, Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada buruh binaan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Mohd Shuhairi Hasim, 46, di Kampung Kok Bedullah di sini pada jam 11.20 malam, Jumaat lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditetapkan pada 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula.

Di mahkamah sama, tertuduh juga didakwa atas kesalahan menggunakan dadah jenis methamphetamine di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan pada Sabtu lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan kes ditetapkan pada tarikh sama bagi laporan patologi serta kimia.

Dalam kejadian Jumaat lalu, mangsa yang juga bapa tunggal serta bekerja sebagai pemandu jentolak, maut selepas dipercayai ditetak bertubi-tubi dengan parang di beberapa bahagian badan termasuk kepala.

Siasatan awal polis mendapati punca kejadian berpunca daripada dendam lama berkaitan isu tanah pusaka, selain berang kerana video anak disunting dalam keadaan tidak senonoh dan ditularkan.

Ringkasan AI

  • Seorang buruh binaan didakwa membunuh sepupu isterinya di Tumpat
  • Hamizi Hamzah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan pembunuhan
  • Pembunuhan berlaku di Kampung Kok Bedullah, menyebabkan mangsa maut dengan kecederaan teruk
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati
  • Punca pembunuhan adalah dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video anak disunting

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!