PDT Kuala Selangor nafi mesej tular berkaitan Covid-19

Mesej palsu mengandungi enam perkara yang tular disebarkan dalam aplikasi WhatsApp berkumpulan.
Mesej palsu mengandungi enam perkara yang tular disebarkan dalam aplikasi WhatsApp berkumpulan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menafikan mesej mengandungi enam perkara berhubung mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 Kuala Selangor seperti yang tular di aplikasi WhatsApp.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji berkata, mesyuarat penyelarasan memberi tumpuan terhadap beberapa perkara antaranya pengagihan tugas pasukan keselamatan.

"Kita bincang beberapa perkara termasuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu polis memastikan rakyat mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.

"Selain itu, mesyuarat itu turut memberi tumpuan berhubung keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor yang kekurangan khemah dan kenderaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Malah, katanya, kira-kira 95 peraturan penduduk di Kuala Selangor juga mematuhi arahan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19.

"Saya sendiri membuat rondaan di beberapa kampung termasuk di Kampung Baru Cina, Pekan Tanjong Karang dan Ijok.

"Terdapat tiga pemeriksaan dijalankan pasukan keselamatan terhadap kenderaan keluar masuk di daerah ini iaitu di Pekan Tanjong Karang, Ijok dan susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular mesej palsu berhubung enam perkara dibincangkan pada mesyuarat pengurusan bencana Covid-19 di daerah Kuala Selangor antaranya memaklumkan terdapat tiga masjid dan enam premis perniagaan di daerah itu ingkar arahan.

Selain itu, terdapat beberapa petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Bestari Jaya dikuarantin selepas dijangkiti Covid-19.

Mesej itu turut memaklumkan seramai 80 guru di daerah itu yang keluar dari daerah Kuala Selangor diarahkan menjalani saringan serta dikuarantin dalam rumah selepas pulang.