Malaysia dan Itali sepakat percepat, muktamadkan kerjasama Petronas-ENI - PM

Anwar semasa menerima panggilan telefon Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni. Foto Pejabat Perdana Menteri
Anwar semasa menerima panggilan telefon Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni. Foto Pejabat Perdana Menteri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Itali sepakat dalam usaha mempercepat serta memuktamadkan kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat tenaga Itali, Eni S.p.A (ENI) dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu perkongsian di platform X malam ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu telah dipersetujui menerusi perbualan telefon beliau dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menerima kunjungan rasmi Meloni ke Kuala Lumpur pada awal tahun depan bagi memuktamadkan perjanjian strategik berkenaan.

"Dalam perbualan itu, Perdana Menteri Giorgia Meloni telah memaklumkan kepada saya alasan ketidakhadiran beliau ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berikutan keperluan mendesak di Rome dalam merangka serta menggubal undang-undang berkaitan belanjawan serta perbincangan di peringkat Kesatuan Eropah,” kata perdana menteri.

Anwar berkata, Malaysia juga memahami keutamaan domestik Itali ketika ini dan turut merakamkan penghargaan atas pendirian negara itu untuk terus mendukung seruan keamanan, keadilan dan kemanusiaan sejagat di Gaza yang amat diperlukan di pentas dunia ketika ini.

"Insya-ALLAH, hubungan akrab Malaysia dan Itali akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara," kata Anwar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Itali sepakat mempercepat serta memuktamadkan kerjasama antara Petronas dan Eni S.p.A
  • Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, mengumumkan persetujuan tersebut melalui perbualan telefon dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni
  • Anwar mencadangkan Meloni untuk melakukan kunjungan rasmi ke Kuala Lumpur pada awal tahun depan
  • Meloni memaklumkan ketidakhadirannya di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 adalah kerana keperluan mendesak di Rome
  • Anwar mengakui penghargaan Malaysia terhadap Itali yang mendukung seruan keamanan dan keadilan di pentas dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!