Amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri

MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri.
MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat melibatkan lapan negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga jam 5 petang pada Selasa.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada jam 12.45 tengah hari, amaran hujan lebat itu melibatkan Perlis, Kedah, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.

Di Perlis, amaran melibatkan seluruh negeri, manakala di Kedah, kawasan yang terjejas ialah Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.

Di Pahang, kawasan terlibat ialah Maran, Bera, Temerloh dan Bentong.

Sementara itu, di Selangor, amaran melibatkan Gombak, Hulu Langat, Petaling dan Hulu Selangor.

Amaran turut melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Jelebu di Negeri Sembilan.

Di Johor, kawasan yang terlibat ialah Pontian, Johor Bahru, Kulai dan Mersing.

Bagi Sarawak, amaran dikeluarkan untuk Limbang dan Miri (Marudi), manakala di Sabah melibatkan Tawau, Pedalaman (Pensiangan dan Tambunan) serta Pantai Barat.

MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan merujuk saluran rasmi jabatan itu untuk mendapatkan maklumat terkini.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!