Anwar hadiri APEC Korea Selatan 2025, teruskan misi diplomasi

Anwar akan menghadiri APEC yang akan berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November ini. Kredit foto/ Jabatan Perdana Menteri.
Anwar akan menghadiri APEC yang akan berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November ini. Kredit foto/ Jabatan Perdana Menteri.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah kejayaan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusikan misi diplomasinya ke Gyeongju, Korea Selatan pula.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar akan memulakan lawatan kerja ke Gyeongju untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang berlangsung selama dua hari iaitu 31 Oktober dan 1 November ini.

Bagaimanapun, menurut Tunku Nashrul, Anwar dijadual bergerak ke Parlimen terlebih dahulu pada pagi Khamis bagi menghadiri Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

"Berhubung fokus Malaysia di APEC, insya-ALLAH Perdana Menteri akan menekankan kepentingan keterangkuman pengukuhan rantaian bekalan, ekonomi digital dan pembangunan mampan selain mengetengahkan kerangka dasar negara dalam transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI).

"Lawatan ini juga memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan dengan barisan pemain utama industri bagi membincangkan peluang perniagaan dan pelaburan, di samping meningkatkan lagi Perkongsian Strategik antara Malaysia serta Republik Korea.

"Semoga usaha yang berterusan sama ada di pentas ASEAN mahupun APEC terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang berprinsip, progresif dan komited memperjuangkan keadilan serta keamanan serantau demi masa depan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika siaran langsung taklimat harian Jabatan Perdana Menteri (PMO) di Facebook pada Rabu.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan melabuhkan tirai dengan jayanya bermula 26 hingga 28 Oktober lalu di mana Malaysia bertindak selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

Anwar ketika majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berpandangan, kejayaan blok serantau itu bukan sahaja diukur menerusi pemeteraian dokumen, sebaliknya disiplin untuk bertindak dengan sabar, membangun mengikut rentaknya sendiri dan kekal tenang dalam ketidaktentuan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Tunku Nashrul menambah, sidang kemuncak kali ini mengukir sejarah tersendiri dan membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan.

Jelasnya, ia himpunan terbesar dan berprofil tinggi setakat ini melibatkan kehadiran kesemua pemimpin ASEAN, sembilan rakan dialog serta empat tetamu Pengerusi.

Kata beliau, pemeteraian KL Accord, kemasukan secara rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ASEAN Trade in Goods Agreement-ATIGA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) 3.0, Konsensus Lima Perkara (5PC) serta pertukaran pandangan mengenai isu Laut Cina Selatan dan Palestin antara kejayaan yang membanggakan.

"Menerusi kejayaan ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia tidak akan berhasil tanpa jasa, bakti dan keringat petugas yang menjalankan amanah sebaiknya dari agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan serta pengamal media.

"Ribuan terima kasih diucapkan atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak ini.

"Perdana Menteri juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas dukungan dan kesabaran yang diberikan sepanjang proses diplomasi ini berlangsung," ujar beliau.

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan misi diplomasinya ke Korea Selatan selepas kejayaan KL Accord antara Thailand dan Kemboja
  • Anwar akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di Gyeongju selama dua hari
  • Beliau dijadual menghadiri Sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen sebelum berangkat ke Korea Selatan
  • Fokus Malaysia di APEC ialah pada keterangkuman, rantaian bekalan, ekonomi digital, pembangunan mampan dan kerangka dasar transformasi digital
  • Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menekankan kepentingan disiplin, kesabaran, dan pembangunan serantau demi masa depan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!