Ramos-Horta seorang pemimpin dunia berprinsip dan berani - Anwar

Anwar (kanan) menghadiri majlis makan malam mengumpul dana yang dihoskan oleh Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta untuk meraikan kemasukan rasmi negara ke ASEAN di sebuah hotel, pada Selasa. Foto Bernama
Anwar (kanan) menghadiri majlis makan malam mengumpul dana yang dihoskan oleh Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta untuk meraikan kemasukan rasmi negara ke ASEAN di sebuah hotel, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta sebagai seorang negarawan yang memiliki pegangan moral yang jelas dan keberanian luar biasa, dengan kepimpinannya terus memberi inspirasi kepada rantau ini.

"Apa yang kurang dalam dunia ini ialah suara hati nurani... pegangan moral yang jelas. Dan negara ini, lelaki ini, Ramos-Horta, memiliki apa yang kurang di dunia ini,” katanya pada majlis makan malam amal anjuran Ramos-Horta bertajuk "Timor-Leste: Building a Shared Future with ASEAN” di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, serta Pengasas dan Pengerusi Berjaya Corp, Tan Sri Vincent Tan.

Anwar berkata, Ramos-Horta melambangkan ketabahan, keberanian dan berkeyakinan teguh - nilai-nilai yang menjadikan beliau suara hati nurani yang jarang ditemukan dalam politik dunia masa kini.

Perdana Menteri turut menegaskan sokongan berprinsip Malaysia terhadap kemasukan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, sambil menyifatkannya sebagai antara keutamaan utama beliau selaku Pengerusi ASEAN.

"Saya mahu anda berjaya kerana saya mahukan sahabat yang mempunyai pegangan moral yang jelas dan dasar berlandaskan moral,” kata Anwar

"Sebaik sahaja saya mengambil alih kepengerusian, saya beritahu pasukan, Kementerian Luar dan Kabinet bahawa sebelum kita menyerahkan tampuk kepengerusian, Timor-Leste mesti menjadi anggota penuh ASEAN,” katanya.

Anwar mengakui bahawa proses itu agak rumit, namun Malaysia tetap bertekad membantu dan terus berdiri bersama Timor-Leste dalam perjalanannya membina negara dan pengintegrasian serantau.

"Saya beritahu rakan-rakan saya, bantu mereka, sumbanglah... dan kita telah berbuat demikian. Kita menyalurkan dana melalui Sekretariat ASEAN di Jakarta. Kita menghantar pegawai. Itulah makna persahabatan. Itulah makna kemanusiaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar turut menggesa syarikat Malaysia supaya melabur di Timor-Leste dengan bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa kerjasama ekonomi perlu dibimbing dengan keadilan dan pertumbuhan bersama.

"Apabila pelabur kita ke sana, mereka tidak seharusnya berkelakuan seperti bekas penjajah. Sudah tentu mereka mencari keuntungan - itu perkara biasa. Tetapi mesti ada juga pemindahan teknologi, latihan untuk anak muda, dan sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Ramos-Horta pada majlis itu menyifatkan Anwar sebagai mentornya dan berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang perjuangan kemerdekaan Timor-Leste dan usahanya menyertai ASEAN.

Beliau berkata, keyakinan Malaysia terhadap masa depan Timor-Leste sebagai sebahagian daripada Asia Tenggara telah memberi inspirasi dan semangat dalam perjalanan panjang serta mencabar negara itu ke arah penyepaduan serantau.

Beralih kepada kerjasama ekonomi, Ramos-Horta berkata, Timor-Leste kini "secara rasmi dibuka untuk perniagaan”, sambil mengalu-alukan pelabur Malaysia meneroka peluang dalam sektor utama seperti minyak dan gas, pertanian, kopi dan pelancongan.

Majlis makan malam itu diadakan bagi memperingati kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dan mengutip dana untuk "Timor-Leste Foundation for Children’s Future”, sebuah inisiatif yang diterajui Ramos-Horta. - Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta sebagai negarawan berpegangan moral jelas dan berani
  • Anwar mengumumkan sokongan Malaysia terhadap kemasukan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai keutamaan utama
  • Proses kemasukan Timor-Leste ke ASEAN dianggap rumit, namun Malaysia bertekad membantu
  • Anwar menggesa syarikat Malaysia untuk melabur di Timor-Leste secara bertanggungjawab dan adil
  • Majlis makan malam anjuran Ramos-Horta diadakan untuk memperingati kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dan mengumpul dana untuk inisiatif masa depan kanak-kanak di Timor-Leste

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!