Data kepadatan penduduk rancang sempadan pilihan raya lebih adil - DOSM

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan data statistik kepadatan penduduk terkini untuk perancangan sempadan pilihan raya yang lebih adil dan penggubalan dasar berasaskan bukti.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, data berkaitan pengundi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bilangan penduduk layak mengundi disediakan bagi membolehkan perancangan sempadan pilihan raya, logistik pengundian, serta analisis demografi dilakukan secara lebih tepat.

"Sebagai contoh kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak terpaksa melepaskan hak mengundi di negeri kelahiran kerana faktor kos pengangkutan untuk pulang ke negeri kelahiran yang tinggi, menyebabkan bilangan pengundi yang lebih rendah.

"Berbanding dengan rakyat Kelantan dan Terengganu, kebanyakan mereka yang bermastautin di kawasan Lembah Klang akan pulang untuk mengundi di negeri kelahiran setiap kali berlakunya pilihan raya menyebabkan bilangan pengundi yang lebih ramai," katanya dalam satu kenyataan bagi Perangkaan Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2025 pada Rabu.

Menurut Mohd Uzir, Parlimen Wangsa Maju mencatatkan kepadatan penduduk tertinggi dengan 14,056 orang bagi setiap kilometer persegi (km²) diikuti Pandan (11,969 orang/km²) dan Jelutong iaitu 11,765 orang/km².

Tambahnya, kepadatan tertinggi di peringkat DUN direkodkan di Pengkalan Kota iaitu 21,811 orang/km², Pandan Indah (15,363 orang/km²) dan Sungai Pinang iaitu 14,344 orang/km².

Jelasnya, dari segi komposisi demografi, tumpuan tertinggi kumpulan etnik Bumiputera direkodkan di Parlimen Setiu, Jeli dan Hulu Terengganu dengan masing-masing melebihi 99.4 peratus.

"Sementara itu, peratusan tertinggi kumpulan etnik Cina direkodkan di Parlimen 114 Kepong iaitu 72.4 peratus, Tanjong (71.2 peratus) dan Bukit Bendera sebanyak 69.2 peratus.

"Parlimen Ipoh Barat pula mencatatkan peratusan tertinggi kumpulan etnik India, iaitu 26.0 peratus manakala peratusan tertinggi etnik lain dicatatkan di Padang Terap sebanyak 7.1 peratus," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat DUN pula, Mohd Uzir menjelaskan bahawa kumpulan etnik Bumiputera direkodkan di DUN Telemung, Manir dan Bukit Bunga dengan masing-masing melebihi 99.6 peratus.

"Peratusan tertinggi kumpulan etnik Cina direkodkan di DUN Batu Lancang iaitu 83.9 peratus, Pelawan (80.9 peratus) dan Pasir Pinji sebanyak 79.7 peratus.

"DUN Buntong pula mencatatkan peratusan tertinggi kumpulan etnik India iaitu 49.4 peratus manakala peratusan tertinggi etnik lain dicatatkan di Pedu dengan 7.1peratus," katanya.

Jelas Mohd Uzir, statistik subnasional yang terperinci itu penting bagi memastikan strategi pembangunan dirangka mengikut keperluan serta ciri-ciri unik setiap kawasan pilihan raya.

Ringkasan AI

  • Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan data kepadatan penduduk untuk perancangan sempadan pilihan raya yang adil
  • Kebanyakan rakyat Sabah dan Sarawak melepaskan hak mengundi di negeri kelahiran kerana faktor kos pengangkutan yang tinggi
  • Parlimen Wangsa Maju mencatat kepadatan penduduk tertinggi dengan 14,056 orang per km persegi
  • Komposisi demografi menunjukkan tumpuan tertinggi kumpulan etnik Bumiputera di Parlimen Setiu, Jeli, dan Hulu Terengganu
  • Statistik subnasional membantu dalam penggubalan strategi pembangunan mengikut keperluan kawasan pilihan raya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!