DBKL nafi agihkan pokok bunga percuma di Taman Tasik Titiwangsa

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa terdapat agihan pokok bunga secara percuma kepada orang awam di kawasan Taman Tasik Titiwangsa selepas penganjuran KL Park Festival 2025.
DBKL dalam kenyataannya memaklumkan bahawa tiada sebarang agihan pokok bunga kepada orang awam dibenarkan, sebaliknya kerja-kerja pembersihan serta pengalihan tanaman hiasan sedang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik sebagai sebahagian daripada proses penutupan acara tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran serta tidak mengambil sebarang tanaman atau bahan hiasan di tapak festival.
“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran kerja-kerja pembersihan,” menurut pihak berkuasa tempatan itu di Facebooknya pada Rabu.
DBKL turut menasihatkan warga kota agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta hanya merujuk kepada saluran rasmi DBKL bagi mendapatkan pengesahan atau maklumat terkini.
Pihak berkuasa itu turut menegaskan bahawa penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu urusan pihak kontraktor yang masih menjalankan kerja pasca acara.
Ringkasan AI
- DBKL nafi dakwaan agihan pokok bunga percuma di Taman Tasik Titiwangsa selepas KL Park Festival 2025
- Kerja pembersihan dan pengalihan tanaman hiasan sedang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik
- Orang ramai dinasihatkan tidak memasuki kawasan berkenaan tanpa kebenaran dan tidak mengambil sebarang tanaman
- DBKL mengingatkan untuk merujuk kepada saluran rasmi bagi maklumat yang sahih
- Penyebaran maklumat tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu kerja pasca acara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

