Bijak imbang diplomasi, kepentingan rakyat

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 membuktikan Malaysia semakin diyakini di pentas antarabangsa dan melalui kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim negara berjaya menunjukkan kebijaksanaan diplomasi tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar.
Menurut Anwar, pertemuan empat mata bersama Trump memberi ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai isu kemanusiaan di Gaza dan menuntut gencatan senjata, di samping membincangkan peluang pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, hasil perbincangan menunjukkan perkembangan positif apabila AS bersetuju menghentikan sementara serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat, walaupun penyelesaian menyeluruh masih belum dicapai.
Ia membuktikan suara Malaysia masih dihormati dan didengari dalam isu kemanusiaan global, hasil pendekatan beradab dan berprinsip yang diamalkan dalam setiap perundingan antarabangsa.
Dalam masa sama, hubungan baik dengan AS tidak menghalang Malaysia daripada memperkukuh hubungan dengan negara lain seperti China, Kesatuan Eropah, Brazil dan Afrika Selatan, selaras dengan dasar berkecuali dan sederhana yang diamalkan Malaysia.
Langkah berkenaan memperlihatkan keseimbangan diplomasi yang jarang dimiliki negara membangun berkawan dengan semua, namun tidak bergantung kepada mana-mana pihak.
Dalam bidang ekonomi pula, perbincangan bersama Amerika Syarikat membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, maritim dan teknologi hijau yang berpotensi besar menyumbang kepada ekonomi negara.
Rundingan itu turut menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi dan pelaburan serantau yang mampan.
Kejayaan menandatangani peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (FTA 3.0) sehari selepas sidang bersama Amerika Syarikat pula menegaskan keupayaan Malaysia mengimbangi kepentingan dua kuasa besar dunia secara matang dan berprinsip.
Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyerlahkan kebijaksanaan Malaysia di bawah kepimpinan Anwar, sebuah negara kecil yang mampu berdiri teguh dengan prinsip, maruah dan diplomasi berhemah demi kepentingan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
