Rutin lama, cabaran baharu

Sesi persekolahan yang sebelum ini bermula pada Mac kini akan dikembalikan ke jadual asal seperti sebelum 2020. Foto hiasan
Sesi persekolahan yang sebelum ini bermula pada Mac kini akan dikembalikan ke jadual asal seperti sebelum 2020. Foto hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengembalikan sesi persekolahan bermula Januari mulai tahun 2026 menandakan satu langkah penting dalam usaha menormalkan semula sistem pendidikan negara selepas hampir lima tahun berdepan kesan pandemik Covid-19.

Selepas beberapa siri pelarasan takwim akibat penutupan sekolah semasa pandemik, sesi persekolahan yang sebelum ini bermula pada Mac kini akan dikembalikan ke jadual asal seperti sebelum 2020.

Ia dilihat sebagai satu isyarat bahawa sistem pendidikan negara sudah kembali stabil dan bersedia untuk rutin akademik yang lebih tersusun.

Menurut KPM, sesi persekolahan 2026 akan bermula pada 11 Januari bagi Kumpulan A dan 12 Januari bagi Kumpulan B dan langkah itu dikatakan dibuat secara berperingkat serta tertib supaya tidak menjejaskan kelancaran operasi sekolah serta kebajikan murid dan guru.

Bagi banyak pihak, perubahan berkenaan membawa makna lebih besar daripada sekadar pelarasan tarikh susulan ia melibatkan aspek pengurusan, perancangan akademik, cuti persekolahan dan keseimbangan rutin keluarga yang selama ini menyesuaikan diri dengan jadual baharu selepas pandemik.

Bagi murid, kembali ke sesi Januari bermaksud tempoh cuti hujung tahun akan menjadi lebih panjang, memberi ruang untuk berehat dan membuat persiapan sebelum memasuki tahun baharu.

Guru dan pihak sekolah pula, langkah tersebut memberi peluang untuk merancang semula takwim tahunan dengan lebih sistematik antaranya penyelarasan program latihan, pentaksiran serta pengurusan sumber manusia agar selari dengan kitaran tahun kewangan dan kalendar akademik.

Namun, cabaran pasti wujud susulan peralihan jadual memerlukan koordinasi rapi terutama dalam penyediaan bahan pembelajaran, jadual peperiksaan dan proses kemasukan murid baharu selain sekolah perlu memastikan transisi ini berlaku tanpa menjejaskan pembelajaran sedia ada.

Bagi ibu bapa, keputusan itu memerlukan sedikit penyesuaian logistik dan kewangan kerana perubahan tempoh cuti sekolah mungkin mempengaruhi perancangan keluarga, kos penjagaan anak serta aktiviti hujung tahun yang sebelum ini sudah menjadi rutin tahunan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dari sudut dasar, langkah KPM itu memperlihatkan usaha berterusan untuk menyelaraskan semula sistem pendidikan dengan norma pra-pandemik selain menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan murid dan guru diambil kira dalam setiap keputusan besar.

Kembalinya sesi Januari juga boleh dianggap simbol pemulihan menyeluruh sistem pendidikan negara, malah menandakan keyakinan bahawa sekolah kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang lebih kukuh dengan infrastruktur dan pelan pengajaran yang stabil.

Dalam konteks lebih luas, normalisasi takwim berkenaan membuka ruang kepada perancangan jangka panjang termasuk penambahbaikan kurikulum, pembaharuan sistem peperiksaan dan penyusunan semula sesi persekolahan tunggal yang pernah dicadangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!