Anak muda gigih cipta peluang dua kerjaya

Ashraf, graduan Kejuruteraan dari Brunel University London yang kini menceburi dua bidang berbeza iaitu takaful dan media digital.
Ashraf, graduan Kejuruteraan dari Brunel University London yang kini menceburi dua bidang berbeza iaitu takaful dan media digital.
A
A
A

DALAM suasana ekonomi moden yang semakin dinamik, golongan muda Malaysia semakin berani meneroka pelbagai bidang serentak bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran kerja global.

Antara anak muda yang menonjol ialah Muhammad Ashraf Zainal Abidin, graduan Kejuruteraan dari Brunel University London yang kini menceburi dua bidang berbeza iaitu takaful dan media digital.

Ashraf, 30, menjalankan perniagaan ABIQ Group Sdn Bhd di ruang kerja kongsi WORQ, jenama tempatan yang kini mempunyai lebih 11 lokasi di seluruh negara termasuk di TTDI, Bangsar South, Subang dan KL Gateway.

WORQ dikenali sebagai ruang kerja bersama pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan surau yang luas dan selesa, menjadikannya pilihan utama dalam kalangan profesional dan usahawan.

Pengarah Urusan ABIQ Group Sdn Bhd itu berkata, selain ruang kerja moden dan fleksibel, WORQ turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti ruang makan, ruang rehat, bilik permainan (games room) serta “free flow” kopi dan teh kepada semua ahli.

Lebih menarik, katanya, WORQ menekankan nilai toleransi dan hormat antara agama, dengan penyediaan ruang makan berasingan bagi makanan halal dan tidak halal bagi menjaga sensitiviti masyarakat majmuk tanpa mengabaikan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Bagi saya, WORQ bukan sekadar tempat bekerja tetapi ekosistem profesional yang menghormati nilai dan budaya tempatan. Ia memberi saya keseimbangan antara kerja, spiritual dan sosial.

"Lebih membanggakan, terdapat surau disediakan dimana tiada kemudahan surau oleh pengendali ruang kerja kongsi selain WORQ yang menyediakannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

WORQ memainkan peranan penting dalam menggalakkan ekonomi gig dan budaya kerja fleksibel di Malaysia.
WORQ memainkan peranan penting dalam menggalakkan ekonomi gig dan budaya kerja fleksibel di Malaysia.

Sementara itu, dalam bidang takaful, Ashraf berperanan sebagai perunding kewangan yang membantu masyarakat memahami kepentingan perlindungan berasaskan prinsip syariah.

Pada masa sama, beliau turut mengurus syarikat media digitalnya yang menyediakan khidmat penghasilan kandungan dan pemasaran dalam talian.

Pada usia muda, Ashraf telah diiktiraf sebagai Million Dollar Round Table (MDRT) lima tahun berturut-turut dan dinobatkan sebagai Court of Table (COT) pada 2024.

“Bidang takaful memenuhi nilai kemasyarakatan saya, manakala media digital membolehkan saya mengekspresikan kreativiti. Saya percaya kedua-duanya saling melengkapi dan industri takaful kini beliau membuka peluang kerjaya dan membantu anak-anak muda memulakan kerjaya dalam perniagaan takaful,” katanya.

Pertumbuhan industri digital Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif. Menurut laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sektor kandungan digital dijangka mencecah RM18 bilion menjelang tahun 2026, meningkat hampir 9 peratus setahun.

Kajian PwC Malaysia (2024) pula mendapati lebih 68 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini memperuntukkan bajet khas untuk pemasaran digital – peningkatan ketara berbanding hanya 34 peratus sebelum pandemik.

Ashraf berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menjadi pemangkin penting dalam kerjaya media digitalnya.

“AI memudahkan kerja. Dulu saya ambil masa dua hari untuk hasilkan satu video promosi, kini dengan bantuan AI saya mampu siapkan dalam beberapa jam,” jelasnya.

Diasaskan pada tahun 2017, WORQ memainkan peranan penting dalam menggalakkan ekonomi gig dan budaya kerja fleksibel di Malaysia.

Berdasarkan data SME Corp Malaysia (2024), lebih 30 peratus tenaga kerja muda kini terlibat dalam pekerjaan bebas atau perniagaan sampingan, sejajar dengan perubahan gaya kerja global.

WORQ di Sunway Putra Mall Kuala Lumpur.
WORQ di Sunway Putra Mall Kuala Lumpur.

WORQ menyediakan bukan sahaja ruang pejabat, tetapi juga komuniti sokongan profesional yang aktif, sesuai untuk golongan muda yang ingin memulakan kerjaya sendiri.

“Di WORQ, saya berpeluang bertemu pelbagai profesional — daripada juruteknik hingga pereka kreatif — semuanya dalam satu komuniti. Ini menjadikan saya lebih terbuka terhadap peluang baharu,” ujar Ashraf.

Walaupun memiliki latar belakang kejuruteraan, Ashraf berjaya menggabungkan kemahiran teknikal dengan keusahawanan sosial, selari dengan semangat anak muda Malaysia yang kreatif dan berdaya tahan.

“Saya tidak mahu memilih antara minat dan tanggungjawab. Saya mahu keduanya kerana masa depan kerja bukan lagi tentang satu laluan, tetapi keupayaan mencipta peluang sendiri,” katanya.

Ringkasan AI

  • Golongan muda Malaysia semakin berani meneroka pelbagai bidang serentak untuk menyesuaikan diri dengan pasaran kerja global
  • Muhammad Ashraf Zainal Abidin, seorang graduan Kejuruteraan, kini menceburi bidang takaful dan media digital
  • Ashraf menjalankan perniagaan ABIQ Group Sdn Bhd di WORQ, ruang kerja kongsi yang menyediakan kemudahan lengkap termasuk surau
  • WORQ meningkatkan toleransi dan hormat antara agama, dengan penyediaan ruang makan berasingan bagi makanan halal dan tidak halal
  • Industri digital Malaysia dijangka mencecah RM18 bilion menjelang tahun 2026, dengan AI menjadi pemangkin penting dalam kerjaya media digital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!