Malaysia dan Kanada sepakat perkukuh hubungan ekonomi, teroka peluang baharu pelaburan - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR-Malaysia dan Kanada bersetuju untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan pelaburan di samping meneroka peluang baharu dalam tenaga hijau, inovasi dan pendidikan selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan inklusif dan mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu telah dipersetujui semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Kanada, Mark Carney di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Isnin. 

"Kejayaan usaha sama melibatkan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas di Kanada menjadi contoh nyata keyakinan terhadap potensi, kekuatan dan saling bergantungan ekonomi antara kedua-dua negara,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau pada Isnin. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan rasmi pertama Carney ke Asia sejak memegang jawatan pada Mac mencerminkan komitmen Kanada untuk mempekukuh penglibatan dengan ASEAN, khususnya dalam kerjasama ekonomi dan pembangunan mampan.

Carney tiba di Malaysia pada Sabtu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi, atas jemputan Perdana Menteri.

Beliau diiringi oleh isteri, Diana Fox Carney serta Menteri Perdagangan Antarabangsa Maninder Sidhu dan kalangan pegawai kanan kerajaan.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama dan menangani isu yang menjadi cabaran serantau serta global secara menyeluruh. - Bernama 

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Ringkasan AI

  • Malaysia dan Kanada sepakat perkukuh hubungan ekonomi, pelaburan
  • Bertujuan meneroka peluang dalam tenaga hijau, inovasi dan pendidikan
  • Perkara ini dipersetujui dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat dari Kanada, Mark Carney
  • Usaha sama gas asli cecair (LNG) oleh Petronas di Kanada menjadi contoh kejayaan
  • Lawatan Mark Carney ke Asia mencerminkan komitmen Kanada dalam kerjasama ekonomi dan pembangunan mampan dengan ASEAN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!