Antara hukum dan realiti sosial hari ini

BARU-BARU ini, Malaysia digemparkan dengan kejadian rogol bergilir-gilir melibatkan remaja sekolah yang berlaku kira-kira jam 2.50 petang pada 2 Oktober lalu.
Lebih membimbangkan, dua suspek turut merakam perbuatan terkutuk itu menggunakan telefon bimbit sehingga penyebaran video berkenaan membawa kepada laporan polis oleh ibu mangsa.
Kes tersebut bukan sahaja mengundang kemarahan masyarakat tetapi turut membuka semula perdebatan mengenai keberkesanan undang-undang sedia ada dalam menangani jenayah rogol khususnya melibatkan remaja bawah umur.
Pertuduhan rogol berkanun yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan telah mencetuskan kembali persoalan sama ada peruntukan undang-undang itu masih relevan dengan realiti sosial masa kini.
Situasi ini menggambarkan keperluan untuk menilai semula pelaksanaan undang-undang jenayah seksual bagi melindungi remaja sama ada sebagai mangsa atau pelaku.
Di Kelantan, misalnya, polis membuka sebanyak 349 kertas siasatan jenayah seksual sejak Januari hingga September tahun ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 92 kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 257 kes.
Jenayah tersebut meliputi kes rogol, cabul kehormatan, liwat, isyarat lucah, pengedaran gambar tidak senonoh serta mengintip.
Statistik ini menimbulkan persoalan besar sama ada hukuman penjara dan sebat di bawah undang-undang jenayah masih berkesan membendung jenayah rogol berkanun daripada berulang?
Pensyarah Undang-Undang di Kolej Universiti Koperasi Polis Diraja Malaysia (Unikop), Cyberjaya, Mohd Ridwan Talib berkata, Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan bertujuan memberi perlindungan kepada remaja wanita bawah umur 16 tahun daripada eksploitasi seksual.
“Namun, berdasarkan statistik yang dibentangkan di Parlimen, terdapat peningkatan kes rogol berkanun melibatkan mangsa berumur bawah 16 tahun sejak 10 tahun lalu.
“Berdasarkan kepada kajian akademik, remaja berumur 13 hingga 15 tahun mewakili golongan yang paling besar terbabit dalam jenayah rogol. Malah, mengikut analisis, majoriti golongan ini bergelumang dengan aktiviti senggama secara sukarela,” katanya.
Mohd Ridwan yang juga seorang peguam berkata, menurut kajian akademik yang dibuat pada 2016, majoriti perogol lelaki yang dijatuhi hukuman tidak berasa bersalah kerana kegiatan senggama itu dibuat secara sukarela dengan mangsa di bawah umur.
“Daripada perspektif Islam pula, tiada perbezaan antara jenayah rogol dan rogol berkanun kerana kedua-duanya ialah jenayah yang ditegah oleh syariat agama.
“Jenayah rogol bertentangan dengan matlamat tertinggi dalam Islam (Maqasid as-syariah) yang mempertahankan kesucian susur galur manusia (Hifz al-Nasl) tanpa mengira lelaki atau wanita,” jelasnya.
Justeru, Mohd Ridwan berpandangan, sekiranya aktiviti yang berlaku merupakan senggama sukarela, ia bukan lagi dikategorikan sebagai jenayah rogol sebaliknya termasuk dalam kesalahan zina yang tertakluk kepada hukuman hudud.
“Globalisasi dan revolusi teknologi menyebabkan segelintir remaja mencapai kematangan seksual lebih awal daripada nilai ambang yang telah dirangka oleh undang-undang.
“Maka, reformasi undang-undang jenayah perlu dilaksanakan bagi memastikan kelestarian masyarakat Madani terpelihara serta selaras dengan prinsip Maqasid Syariah,” katanya.
Pandangan pakar tersebut jelas menunjukkan bahawa reformasi terhadap undang-undang jenayah rogol berkanun amat relevan dan perlu dilakukan segera bagi menyesuaikan kerangka perundangan dengan realiti sosial masyarakat masa kini.
Undang-undang yang berasaskan garis umur semata-mata tanpa mengambil kira kematangan fizikal dan mental remaja dilihat sudah tidak praktikal dalam konteks dunia moden yang terdedah kepada pengaruh teknologi dan maklumat tanpa batas.
Penulis berpendapat, cadangan memperbaharui undang-undang sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah wajar dipertimbangkan oleh pembuat dasar.
Langkah reformasi ini bukan sahaja boleh meningkatkan keberkesanan perundangan dalam melindungi remaja malah memastikan sistem keadilan negara kekal seimbang antara tuntutan moral, agama dan keperluan semasa masyarakat.
* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah Wartawan Bisnes Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
