Reformasi segera sistem padi dan beras negara - Pengerusi MADA

Subsidi bersasar RM1 bilion setahun dicadang bagi pastikan golongan miskin terus nikmati harga berpatutan. Ismail (Gambar kecil)
Subsidi bersasar RM1 bilion setahun dicadang bagi pastikan golongan miskin terus nikmati harga berpatutan. Ismail (Gambar kecil)
A
A
A

ALOR SETAR – Sistem padi dan beras negara perlu melalui reformasi menyeluruh termasuk mengapungkan harga beras putih tempatan mengikut harga pasaran semasa bagi menyelesaikan kemelut berlarutan dalam industri itu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, sudah tiba masanya kerajaan berani melakukan perubahan besar agar kesejahteraan pesawah dapat dijamin dan kekayaan hasil pertanian dikembalikan kepada mereka.

Menurut beliau, langkah mengapungkan harga beras putih tempatan pada kadar pasaran sebenar yang ditentukan oleh harga beras import akan menjadikan harga kedua-duanya selaras dan lebih realistik.

“Apabila harga beras putih tempatan diapungkan, kerajaan masih boleh menyalurkan subsidi secara bersasar kepada golongan miskin tegar.

“Secara purata, sebuah keluarga memerlukan dua kampit beras 10 kilogram sebulan. Dengan subsidi RM6 bagi setiap kampit, jika harga RM26 dinaikkan kepada RM32, kerajaan hanya perlu memperuntukkan sekitar RM1 bilion setahun bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terus menikmati harga berpatutan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ismail menegaskan, penetapan harga apungan beras putih tempatan juga akan menentukan harga padi yang dibeli kilang daripada pesawah.

“Sebagai contoh, jika harga beras putih tempatan berada pada RM30 sekilogram, maka harga belian padi boleh ditetapkan sekitar RM1,500 bagi setiap tan metrik.

“Harga padi yang dibeli oleh kilang akan bergantung kepada harga beras yang diapungkan itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu sahaja belum cukup menyelesaikan keseluruhan masalah pesawah kerana struktur kekayaan dalam industri beras masih berat sebelah.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan perlu melaksanakan reformasi bagi memastikan kekayaan hasil pesawah dikembalikan kepada mereka, bukan hanya dinikmati oleh segelintir taikun besar yang menguasai industri ini,” tegasnya.

Ismail berkata, kawasan MADA yang meliputi 100,000 hektar sawah padi menghasilkan purata lebih lima tan metrik sehektar, bersamaan nilai kekayaan hampir RM2 bilion setahun.

Namun, katanya, keuntungan besar itu dinikmati oleh pengilang dan pengedar utama, bukan pesawah.

“Kita mesti hentikan ini. Bayangkan jika RM2 bilion hasil padi itu dikembalikan kepada lebih 50,000 pesawah di kawasan MADA dalam pelbagai bentuk pulangan, mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada harga belian padi,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan perlu segera melaksanakan dua langkah utama, iaitu mengapungkan harga beras putih tempatan dan merombak sistem industri padi dan beras supaya kekayaan dinikmati pesawah, bukan hanya syarikat besar.

Pada 16 Oktober lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian itu sedang menjalankan penilaian impak terhadap pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah, susulan cadangan pihak industri untuk menaikkan harga beras putih tempatan daripada RM2.60 kepada RM3.60 sekilogram.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan berhubung harga beras tersebut akan dibuat dengan teliti dan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pesawah, pengguna dan pemain industri.

Hala tuju pembekalan beras putih akan dikemukakan kepada kerajaan, merangkumi pelbagai aspek termasuk kos pengeluaran padi dan beras, semakan harga kawalan, trend pasaran, kerangka perundangan serta kesan kepada pengguna.

Ringkasan AI

  • Sistem padi dan beras di Malaysia perlu direformasi termasuk mengapungkan harga beras putih menurut pasaran
  • Mengapungkan harga akan membolehkan subsidi bersasar kepada golongan miskin
  • Penentuan harga apungan beras akan menentukan harga padi dari pesawah
  • Keuntungan besar dalam industri ini dinikmati oleh pengilang dan pengedar utama bukan pesawah
  • Kerajaan disaran melakukan reformasi untuk memastikan pesawah menikmati kekayaan hasil pertanian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!