Kereta langgar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat, empat cedera

Keadaan kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol pada malam Sabtu. Foto ihsan pembaca
Keadaan kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol pada malam Sabtu. Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUANTAN - Empat individu termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera selepas sebuah kereta merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol di sini pada malam Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah Tanjung Lumpur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut meneruskan perjalanan walaupun lampu isyarat sudah merah sebelum melanggar tiga motosikal yang keluar dari simpang.

“Kereta itu melanggar tiga penunggang dan seorang pembonceng berusia antara lapan hingga 32 tahun, masing-masing dua lelaki dan dua wanita.

“Kemalangan itu mengakibatkan empat mangsa mengalami pelbagai tahap kecederaan, manakala pemandu kereta terselamat,” katanya pada Ahad.

Tangkap layar video sebuah kereta merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol pada malam Sabtu.
Tangkap layar video sebuah kereta merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol pada malam Sabtu.

Beliau berkata, seorang lelaki mengalami retak pergelangan kaki dan cedera di beberapa anggota badan, manakala seorang wanita pula patah bahu serta mengalami gegaran otak.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat hanya mengalami luka ringan.

Artikel Berkaitan:

“Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) dan seorang daripada mereka masih dirawat di Zon Kuning, manakala yang lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.

Mohd Adli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.

“Kita menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhemah dan sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas demi keselamatan bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!