Venezuela lancar latihan pertahanan besar-besaran hadapi ancaman AS

Latihan ketenteraan sedang giat dijalankan.- Agensi
Latihan ketenteraan sedang giat dijalankan.- Agensi
A
A
A

CARACAS – Kerajaan Venezuela melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran dan mula melatih orang awam untuk menghadapi kemungkinan konflik, ketika tekanan dari Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin meningkat.

Langkah itu diumumkan oleh Presiden Nicolás Maduro yang menggesa rakyat menyertai usaha mempertahankan negara daripada ancaman luar yang didakwa datang dari Washington.

Ketegangan meningkat selepas AS memperhebat operasi ketenteraan di rantau Caribbean, kononnya bagi memerangi rangkaian pengedaran dadah, namun beberapa pegawai AS secara tertutup mengakui matlamat sebenar adalah untuk menyingkirkan Maduro daripada tampuk pemerintahan.

Dalam kenyataannya minggu ini, Maduro bersama Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino López mengesahkan pengaktifan beberapa zon pertahanan baharu di seluruh negara sambil menggesa rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bersiaplah untuk yang terburuk,” kata Padrino López dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, menyifatkan AS sebagai ancaman serius terhadap kedaulatan Venezuela.

Stesen televisyen negara kini menyiarkan rakaman latihan ketenteraan melibatkan anggota militan dan orang awam, merangkak di dalam lumpur, menyeberangi sungai serta mengendalikan senjata di bawah bimbingan tentera.

Turut disiarkan adalah latihan pemindahan kecemasan dan pemindahan dokumen strategik dari pangkalan tentera.

Pemerhati ketenteraan serantau Andrei Serbin Pont, yang mengetuai kumpulan penyelidikan CRIES berkata, latihan kali ini lebih tersusun dan 'mempunyai relevansi sebenar sekiranya berlaku campur tangan AS'..

Namun, penganalisis mempertikaikan dakwaan kerajaan bahawa berjuta-juta rakyat sedia mengangkat senjata, menyifatkan angka itu terlalu tinggi dan lebih kepada usaha membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan penyokong Maduro.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian besar militan yang direkrut adalah daripada kumpulan penyokong kerajaan dan parti sosialis pemerintah.

Mereka termasuk anggota jawatankuasa kejiranan dan sukarelawan yang terlibat dalam agihan makanan rakyat.

“Kita tidak berlatih untuk bermain-main. Kita sedang bersiap sedia," tegas Padrino López.

Pakar keselamatan menjelaskan bahawa sebahagian besar kelengkapan ketenteraan Venezuela hanya sesuai untuk menangani konflik dalaman atau serantau, bukan untuk menentang kuasa tentera terbesar di hemisfera barat.

Dalam satu majlis di bandar La Guaira, Menteri Dalam Negeri Diosdado Cabello mengetuai upacara angkat sumpah kumpulan 'militia tani' yang ditugaskan mempertahankan tanah air.

“Sesiapa yang fikir kami akan menyerah selepas dijatuhkan dua bom, tidak mengenali semangat rakyat Venezuela,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis menjangka hanya sebilangan kecil rakyat yang benar-benar akan menyertai mobilisasi sekiranya berlaku serangan AS.

“Ada yang mungkin mengalu-alukannya, dan ada pula yang hanya mahu terus bekerja dan mencari rezeki seperti biasa,” kata Serbin Pont.- Agensi

Ringkasan AI

  • Kerajaan Venezuela melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran dan mula melatih orang awam
  • Presiden Nicolás Maduro menggesa rakyat menyertai usaha mempertahankan negara daripada ancaman luar dari AS
  • Tekanan dari AS meningkat dengan operasi ketenteraan di Caribbean dengan tujuan menyingkirkan Maduro
  • Menteri Pertahanan mengesahkan pengaktifan zon pertahanan baharu dan menggesa rakyat bersiap menghadapi kemungkinan campur tangan AS
  • Penganalisis mempertikaikan dakwaan kerajaan mengenai jumlah rakyat sedia mengangkat senjata, menyifatkan itu sebagai usaha membangkitkan semangat nasionalisme

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!