Tak perlu cela, ucap terima kasih bila ada sudi bantu - Mahdzir Khalid

SUNGAI PETANI - Kenyataan dibuat Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berhubung pelantikan Penasihat program pembangunan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di setiap kawasan Parlimen di negeri ini, dianggap sebagai tidak berasas.
Pengerusi Keda, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dalam soal itu, wakil rakyat Pas itu diingatkan agar tidak mencela pemimpin lain yang sanggup turun padang semata-mata bagi memudahkan penyampaian bantuan, tanpa diberikan sebarang bayaran mahupun elaun.
"Tugas mereka nak turun padang tengok nelayan, penoreh getah, kawasan-kawasan orang kampung. Kalau nak buat celaan, tak payahlah, jika tak boleh buat, tak boleh tolong, terima kasihlah pada orang yang boleh tolong, itu saja!
"Apa yang nak dimohon (peruntukan) ikut prosedur, tatakelola yang ada dalam peraturan, peraturan itu ada dua, satu pekeliling perkhidmatan dan satu pekeliling perbendaharaan. Sebagai bekas menteri saya ingat saya faham perkataan pekeliling perkhidmatan dan perbendaharaan, yang nak guna duit ikut pekeliling perbendaharaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Desa KEDA Tepi Sungai, Kota Kuala Muda di sini pada Ahad.
Tambah bekas Menteri Besar Kedah itu, Penasihat program pembangunan KEDA yang dilantik di setiap kawasan Parlimen di negeri itu berstatus sukarela.
"Mereka pun tandatangan secara sukarela... bukan kata ada elaun, lepas itu, kalau lah kata ada benda yang berlaku dalam parlimen dia nak cari rumah orang miskin ka, ada banjir, ada ribut, yang nak cari sumbangan melalui KEDA tu pun tiada apa-apa bayaran, dia kena buat sendiri juga.
"Jadi yang tu dah tolong rakyat, tolong masyarakat, patutnya ucap terima kasih," jelas beliau.
Mahdzir berkata, peruntukan yang disalurkan KEDA menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah dari Kerajaan Persekutuan.
"Yang dimaksudkan Nurul Amin iaitu lantikan politik... dalam Kerajaan Persekutuan ada latihan politik begitu juga dalam kerajaan negeri pun ada latihan politik. Satu lagi sebab bila pergi ke wakil rakyat sedia ada, mereka kata 'kami tiada peruntukan' yang ada peruntukan bawah KEDA, bawah KKDW.
"Maksudnya pimpinan dari UMNO yang ada ini bukan kata sebab kepentingan ka apa, dia tolong cari lagi bantuan dan nak bawa balik kepada masyarakat...jadi tak timbul soal isu kepentingan...kita ambil yang positif," katanya.
Mahdzir yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Terap dalam masa meminta agar wakil rakyat Pas itu turun ke kawasan bagi melihat keperluan rakyat termasuk menghargai pembangunan yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat terdahulu.
Sebelum ini, Nurul Amin dalam Sidang Dewan Rakyat mempertikaikan rasionalnya fungsi jawatan baru yang diwujudkan KEDA kepada Ketua-ketua UMNO Bahagian di Kedah.
Beliau turut mendakwa tindakan itu seolah-olah menunjukkan KEDA sebagai alat politik UMNO sedangkan semua peruntukan diberikan kepada KEDA melalui KKDW adalah duit rakyat.
Ringkasan AI
- Kenyataan Ahli Parlimen Padang Terap tentang pelantikan penasihat Keda dianggap tidak berasas
- Pengerusi Keda, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyarankan agar tidak mencela pemimpin yang membantu tanpa bayaran
- Penasihat program pembangunan Keda bertindak secara sukarela tanpa menerima sebarang bayaran
- Peruntukan yang disalurkan kepada Keda adalah dari Kerajaan Persekutuan
- Nurul Amin sebelum ini mempertikaikan fungsi jawatan baru di Keda sebagai alat politik UMNO
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

