Bomba selamatkan 8 individu termasuk seorang kanak-kanak terperangkap banjir

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya menyelamatkan lapan individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap di dalam sebuah dusun akibat banjir di Kampung Wang Perah, dekat Jitra hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.11 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dikerahkan ke lokasi kejadian.
"PGO telah menerima panggilan kecemasan yang memaklumkan terdapat satu keluarga yang terdiri daripada lapan individu terperangkap di dalam kawasan dusun itu akibat banjir. Paras air dari sungai berdekatan telah melimpah hingga menyebabkan kesemua mangsa terperangkap dan tidak dapat keluar.
"Pihak bomba menghadapi kesukaran untuk menghampiri kawasan berkenaan dengan jentera, bagaimanapun empat lelaki, tiga wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara 10 hingga 12 tahun berjaya diselamatkan,” katanya.
PGO memaklumkan kesemua mangsa yang diselamatkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.32 malam. - Bernama
Ringkasan AI
- JBPM Kedah menyelamatkan lapan individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Wang Perah, Jitra akibat banjir
- Menerima panggilan kecemasan pada jam 8.11 malam
- Paras air dari sungai berdekatan melimpah menyebabkan mangsa terperangkap
- Empat lelaki, tiga wanita, dan seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan
- Mangsa diselamatkan tanpa kecederaan dan diserahkan kepada polis, operasi ditamatkan pada 10.32 malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
