Kes bunuh dua beranak: Tiga lagi lelaki warga asing ditahan, suami akan dibebaskan

Tiga lagi lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam pada Sabtu lalu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Azizee
Tiga lagi lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam pada Sabtu lalu. - Gambar hiasan, gambar kecil: Azizee
A
A
A

GEORGE TOWN – Tiga lagi lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan pada Jumaat dan akan direman di mahkamah esok bagi membantu siasatan lanjut.

“Kami mempunyai tiga tangkapan baharu dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman esok.

“Semuanya warga asing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an serta saling mengenali. Mereka dipercayai melarikan diri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Azizee turut memaklumkan bahawa suami mangsa berusia 57 tahun yang direman sejak Ahad lalu dijangka dibebaskan dengan jaminan polis esok.

Sebelum ini, tiga individu termasuk suami wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pada Sabtu, seorang peniaga kuih, Sariya Che Hin dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh. Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.

Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah dalam keadaan menyayat hati dengan kesan kelar pada leher sehingga hampir putus manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki warga asing ditahan berkaitan pembunuhan wanita dan anak perempuannya di Penang
  • Suspek yang berusia 30-an dan 40-an saling mengenali dan dipercayai melarikan diri sebelum ditangkap
  • Suami mangsa yang berusia 57 tahun dijangka dibebaskan dengan jaminan polis
  • Kejadian pembunuhan tersebut melibatkan seorang peniaga kuih dan anak angkatnya yang ditemui maut di rumah mereka
  • Mayat ditemukan dengan kesan kelar pada leher dan berlumuran darah di bahagian dapur dan tingkat atas rumah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!