Suami nekad redah banjir deras selamatkan anak, isteri dalam pantang

TAIPING - Seorang suami nekad meredah banjir deras sambil menggendong bayi baru lahir, sekali gus memastikan isterinya yang masih berpantang selamat ketika rumah mereka dinaiki air di Kampung Jelapang Jaya, Simpang di sini pada Khamis.
Mohd Azan Shah Mohd Zabidi, 26, berkata, ketika kejadian jam pada 9 malam itu, paras air naik dengan cepat mencecah 0.5 meter menyebabkan dirinya terpaksa mengambil inisiatif sendiri menyelamatkan keluarga sebelum bantuan tiba.
"Bila tengok keadaan air yang deras, saya mula cemas. Tambahan pula anak saya baru empat hari lahir.
"Risau dan takut tidak sempat keluar jika menunggu bantuan," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang.
Mohd Azan Shah berkata, tindakan menyelamatkan keluarganya itu dimulakan dengan membawa isterinya, Nurul Najahhatul Farihah Zainal Abiddin, 26, terlebih dahulu ke dalam kereta yang diparkir di kawasan selamat.
Katanya, tindakan tersebut kemudiannya disusuli dengan membawa bayi mereka diikuti anak sulung berusia 6 tahun.
Jelasnya, usaha tersebut dilakukan dengan berulang-alik sebanyak tiga kali dari rumah ke kereta.
"Saya sempat ambil beberapa barangan penting seperti pampers dan baju bayi sahaja.
"Kami kemudian menaiki kereta menuju ke PPS yang sudah dibuka," katanya.
Beliau menambah, ketika itu terdapat beberapa laluan yang masih boleh dilalui walaupun ada sebahagiannya sudah ditenggelami air.
"Bulan lepas banjir juga, tetapi tidak seteruk malam semalam (Khamis). Ini paling teruk setakat ini," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki meredah banjir sambil menggendong bayi baru lahir untuk menyelamatkan keluarganya di Kampung Jelapang Jaya
- Paras air naik dengan cepat mencecah 0.5 meter memaksa Mohd Azan Shah mengambil inisiatif menyelamatkan keluarganya
- Mohd Azan Shah membawa isteri dan anak-anaknya ke kereta yang diparkir di kawasan selamat
- Usaha menyelamatkan keluarga dilakukan dengan berulang-alik sebanyak tiga kali dari rumah ke kereta
- Keluarga tersebut berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara menggunakan kereta melalui laluan yang masih boleh dilalui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

