AKPS patah cubaan bawa masuk 200kg lengkuas tanpa permit sah

Lengkuas tiada permit sah yang disita AKPS.
Lengkuas tiada permit sah yang disita AKPS.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Kedah merampas 200 kilogram (kg) lengkuas yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit sah, pada Khamis.

AKPS dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa rampasan bernilai RM3,200 itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada jam 9.40 malam.

“Pemeriksaan mendapati 200 kg lengkuas daripada jumlah berat muatan keseluruhan hasil pertanian melebihi 44,000 kg tidak mempunyai Perakuan Pemasaran 3P daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Perbuatan mengimport apa-apa keluaran pertanian tanpa perakuan atau permit yang sah merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya.

Menurut kenyataan itu, lengkuas tersebut telah disita untuk tindakan lanjut.

“AKPS juga sentiasa komited dalam memperketat kawalan di semua pintu masuk sempadan negara.

“Ia bagi memastikan kawalan biosekuriti sentiasa terjamin serta membanteras sebarang aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam industri pertanian dan keselamatan makanan negara,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!