ADUN Kedah rayu bantuan RM100,000 disegerakan

Coretan Abdul Nasir di Facebook rasminya hari ini. Gambar kanan: Abdul Nasir Idris
Coretan Abdul Nasir di Facebook rasminya hari ini. Gambar kanan: Abdul Nasir Idris
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah dirayu agar menyegerakan bantuan sebanyak RM100,000 kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagi menghadapi koronavirus (Covid-19) pada 21 Mac lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abdul Nasir Idris berkata, beliau merayu melalui Exco angkat di kawasannya agar peruntukan itu dapat disalurkan secepat mungkin untuk membeli barang makanan keperluan harian dan diagihkan kepada rakyat yang terkesan.

Menurutnya, Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bayu (PUSKAB) bersedia membantu jika khidmat mereka diperlukan.

"Sudah empat hari (selepas pengumuman Mukhriz) tiada pergerakan untuk tujuan itu. Tak kiralah ia disalurkan melalui penyelaras DUN atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pegawai masjid, ahli jawatankuasa qariah, asalkan ia dapat menyelesaikan masalah yang amat mendesak dan menghimpit ini.

"Unit bencana dan keselamatan Majlis tindakan Daerah perlulah diaktifkan bagi mempermudahkan kerja-kerja berkaitan," katanya ketika menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Abdul Nasir berkata, sekiranya peruntukan RM100,000 digunakan untuk membeli barangan keperluan dengan nilai RM50 bagi setiap pek, sebanyak 2,000 keluarga akan dapat manfaatnya.

"Jumlah yang boleh kita salurkan adalah sebanyak 2,000 pek makanan dan diagihkan kepada 2,000 keluarga yang terjejas teruk.

"Kita dapat agih ke 100 buah kampung atau komuniti di seluruh DUN Bayu dengan nisbah purata setiap satu kampung adalah sebanyak 20 pek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau menjangkakan akan ada tambahan 10 pek lagi makanan dari pejabat zakat melalui penolong amil yang dilantik dari setiap qariah untuk menjadikan jumlah sebanyak 30 pek bagi setiap kampung ataupun komuniti.

"Peraturan pengagihan bagi menepati SOP pengawalan perintah larangan kawalan pergerakan boleh dirujuk kepada urusetia kawalan covid-19 ataupun pejabat kesihatan daerah," katanya.

Pada 21 Mac lalu, Mukhriz berkata, inisiatif tersebut terbahagi kepada sembilan bahagian dengan yang pertamanya adalah peruntukan berjumlah RM3.6 juta bagi bantuan keperluan asas melalui pusat Pusat Khidmat DUN dan Exco angkat.

Pemberian itu merangkumi peruntukan RM100,000 untuk setiap satu daripada 36 kawasan DUN di Kedah.