Usaha banteras berita palsu tak boleh dilakukan secara bersendirian: Fahmi

Fahmi (duduk, tengah) bersama delegasi yang menyertai seminar ASEAN membanteras berita palsu.
Fahmi (duduk, tengah) bersama delegasi yang menyertai seminar ASEAN membanteras berita palsu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Seminar on Developing Training Module for Combating Fake News in ASEAN 2025, yang berlangsung selama dua hari di ibu negara bermula 1 Oktober lalu.

Seminar tersebut merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dengan kerjasama Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBD) dan menghimpunkan lebih 80 peserta terdiri daripada pengamal media, ahli akademik serta pegawai kerajaan dari negara-negara ASEAN.

Dalam ucapannya, Fahmi menegaskan bahawa usaha membanteras berita palsu tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama serantau dan pendekatan strategik bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab.

“Kita kini berdepan era di mana penularan disinformasi dan deepfakes semakin canggih.

“Justeru, ASEAN perlu bersatu membangunkan modul latihan yang komprehensif bagi memperkukuh keupayaan semua negara anggota dalam menangkis ancaman ini,” katanya.

Seminar dua hari itu memberi tumpuan kepada pembangunan modul latihan yang akan dijadikan rujukan bersama negara-negara ASEAN, merangkumi lima komponen utama:  

1. Pemahaman terhadap disinformasi moden;  

2. Ancaman disinformasi dan deepfakes yang digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI);  

3. Kaedah semakan fakta dan pengesahan digital;  

Artikel Berkaitan:

4. Kerangka undang-undang dan etika dalam konteks ASEAN; dan  

5. Nilai serta prinsip etika media.

Modul tersebut akan menjadi asas kepada pelaksanaan Kuala Lumpur Declaration on the Safe and Responsible Use of Social Media Platforms for ASEAN, yang bakal dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Maklumat ASEAN akan datang.

Menurut kenyataan IPPTAR, seminar ini juga menjadi platform penting bagi perkongsian pandangan, kepakaran dan pengalaman antara negara anggota ASEAN dalam memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap penularan berita palsu, misinformasi dan malinformasi.

AIBD sebagai rakan strategik turut menyatakan komitmen untuk memperluas kerjasama dalam bidang latihan media dan komunikasi, termasuk penggunaan teknologi baharu dalam mengekang penyebaran maklumat tidak sahih di rantau ini.

Dengan penganjuran seminar ini, Malaysia sekali lagi menunjukkan kepimpinannya dalam memperjuangkan penggunaan media yang bertanggungjawab dan selamat di peringkat serantau, sejajar dengan aspirasi ASEAN ke arah ekosistem maklumat yang lebih beretika dan berintegriti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!