Jatuh talak 3, Aiman dan Siti Jamumall tak boleh rujuk

Mahkamah Syariah Selangor sahkan pempengaruh Siti Jamumall dan Khairul Aiman bercerai dengan talak bain kubra selepas lafaz cerai kali ketiga ketika siaran langsung TikTok.
Mahkamah Syariah Selangor sahkan pempengaruh Siti Jamumall dan Khairul Aiman bercerai dengan talak bain kubra selepas lafaz cerai kali ketiga ketika siaran langsung TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin mengesahkan pempengaruh, Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus sah bercerai dengan talak satu buat kali ketiga, ketika siaran langsung di aplikasi TikTok, empat bulan lalu.

Hakim Syarie, Fairus Jaafar memutuskan demikian selepas mendapati Khairul Aiman, 22, atau lebih dikenali sebagai 'Aiman Tak Kesah' selaku plaintif telah bercerai dengan Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin, 26, dengan talak satu kali pertama pada 17 Mac.

Ketika membaca keputusan, beliau berkata, plaintif sekali lagi membuat dua lafaz iaitu ketika siaran langsung di aplikasi sosial terbabit, jam 1.31 pagi pada 15 Mei lalu.

Katanya, ia disusuli dengan lafaz ketiga kepada Siti Suriani selaku defendan, 15 hingga 18 minit kemudian, dengan menyentuh perkataan "aku orang kampung sanggup dipijak tapi sekarang, aku tak boleh diam".

Susulan itu beliau berkata, mahkamah mentafsirkan talak satu kali pertama dan kedua itu sebagai satu talak sahaja secara talak rajie sementara talak ketiga ditafsirkan sebagai lafaz baharu secara talak bain kubra.

"Mengambil kira lafaz ketiga dibuat berselang 15 hingga 18 minit dari lafaz kedua dan ada perbualan lain, maka lafaz berkenaan didapati sah dan menjatuhkan talak satu kali ketiga.

"Mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

"Defendan diarahkan menjalani tempoh edah selama sehingga bersalin dan surat nikah kedua-dua pasangan ini di Perlis dibatalkan," katanya.

Dalam prosiding berkenaan, peguam syarie, Mohd Nooraizan Bin Md Idros yang mewakili plaintif berkata, Aiman akur dengan keputusan terbabit namun masih memikirkan anak sulungnya yang baru dilahirkan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Dia berharap dapat berbaik semula dengan bekas isterinya itu dan saya masih dalam perbincangan sama ada mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa 14 hari.

"Ya, buat masa ini, pasangan ini tidak boleh rujuk semula," katanya.

Pada 15 Mei lalu, pasangan itu telah berpisah buat kali kedua yang mana lafaz cerai diucap dalam siaran langsung menerusi di TikTok atas akaun @Sitijamumall.

Menerusi perkongsian semula di aplikasi berkenaan atas nama @Aiyang.co, Khairul Aiman melafazkan cerai dan diulang sebanyak tiga kali sebelum siaran tersebut dihentikan secara mengejut.

Lelaki berkenaan berkara,"Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court".

Bagaimanapun, mereka kembali rujuk dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengesahan lafaz cerai dibuat.

Pasangan itu juga telah bercerai untuk kali pertama pada 17 Mac di luar mahkamah.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand.

Ini merupakan perkahwinan kedua Siti yang sebelum ini pernah berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, berusia lima tahun dan Putra Aiman Zafran, tiga tahun.

Siti Jamumall juga selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada 12 September lalu.

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan perceraian pempengaruh Siti Jamumall dan suaminya, Khairul Aiman, bercerai dengan talak satu
  • Pasangan itu berpisah semasa siaran langsung di TikTok empat bulan lalu
  • Tiga lafaz cerai disebut oleh Khairul Aiman, dua pertama dianggap sebagai satu talak rajie dan ketiga sebagai talak bain kubra
  • Mahkamah membatalkan surat nikah dan mengarahkan Siti menjalani tempoh edah
  • Ini merupakan perkahwinan kedua bagi Siti Jamumall dan mereka telah memiliki tiga anak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!