Sewa X70 buat kerja 'ulat' di KLIA

SEPANG - Pergerakan mundar-mandir mencurigakan seorang lelaki yang menghampiri pelancong di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini membongkar aktiviti kereta sewa haram atau 'ulat' yang dijalankan pada Rabu.
Kegiatan itu dikesan menerusi intipan dan pemantauan Stesen Penguatkuasa KLIA Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 53 tahun, manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang digunakan turut disita.
"Siasatan awal mendapati ‘ulat' itu telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warga Rusia dari KLIA Terminal 1 ke sebuah hotel di Shah Alam.
"Kadar tambang yang dicaj kepada pelancong itu ialah RM160 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dikatakan disewa oleh lelaki terbabit yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Tambahnya, khidmat kereta sewa haram yang dilakukan dipercayai dibuat secara sampingan.
Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), manakala mana-mana individu yang bersubahat juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 243(1) akta sama.
"Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.
"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pergerakan mencurigakan seorang lelaki di KLIA membongkar aktiviti kereta sewa haram
- Kegiatan itu dikesan oleh JPJ melalui intipan di Stesen Penguatkuasa KLIA
- JPJ menahan seorang lelaki berusia 53 tahun dan menyita kenderaan Proton X70
- Ulat itu menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang warga Rusia dengan caj RM160
- Tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
