Tak tinggal rutin senaman ringan demi persiapan tunai haji

Zainal Abidin
Zainal Abidin
A
A
A

IPOH - Syarat kesihatan baharu kerajaan Arab Saudi bagi musim haji menjadi cabaran tersendiri bagi warga emas, terutama mereka yang ingin menunaikan ibadah walaupun usia lanjut.

Bagi Zainal Abidin Ibrahim, 78, cabaran itu dijadikan motivasi untuk memastikan tubuh sentiasa sihat dan bersedia menghadapi perjalanan fizikal ibadah haji.

Bukan sahaja tidak pernah meninggalkan rutin senaman ringan setiap hari, malah beliau menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Menurutnya, dalam keadaan usia lanjut, mempunyai penyakit itu biasa, tetapi perlulah mendisiplinkan diri dengan pengambilan ubat mengikut jadual dan mengambil makanan tambahan bagi mengekalkan stamina.

“Nak menunaikan ibadah melontar di ketiga-tiga jamrah bukan perkara mudah, kita perlu berjalan kaki. Kalau tak sihat, sampai bila pun saya tak boleh pergi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sejak muda, Zainal Abidin aktif menjaga diri dan sehingga kini, masih berjemaah di masjid dengan menunggang motosikal.

“Aktiviti harian sebegini bukan sekadar menjaga tubuh, tetapi juga menyemai ketenangan rohani, sebagai persediaan mental untuk perjalanan panjang ibadah haji,” katanya.

Bercakap mengenai syarat baharu itu, Zainal Abidin mengakui ia mungkin menyukarkan sebahagian warga emas.

“Memang agak ketat, tetapi kalau kita tak bersedia, haji pun tak sempurna. Jadi, saya ambil ini sebagai cabaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dia turut berkongsi pengalaman menguruskan rayuan haji melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

“Tahun-tahun sebelum ini rayuan saya gagal, tetapi semangat nak pergi tetap membara. Kali ini saya akan cuba lagi. Usia bukan alasan untuk berhenti berusaha,” katanya.

Ringkasan AI

  • Syarat kesihatan baharu kerajaan Arab Saudi bagi musim haji menjadi cabaran bagi warga emas
  • Zainal Abidin Ibrahim, 78, menjadikan cabaran kesihatan bagi warga emas sebagai motivasi untuk kekal sihat dan bersedia bagi ibadah haji
  • Beliau tidak pernah meninggalkan rutin senaman ringan setiap hari dan menekankan keperluan pemeriksaan kesihatan secara berkala
  • Menyatakan pentingnya mendisiplinkan diri dengan pengambilan ubat secara teratur dan mengambil makanan tambahan untuk mengekalkan stamina
  • Mengakui syarat kesihatan baharu mungkin menyukarkan sebahagian warga emas tetapi mengambilnya sebagai cabaran dan terus berusaha untuk menunaikan haji

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!