Pengajaran penting: Jangan cari pasal dengan perempuan

MERAK Jalanan tak tahu apa yang berlaku dalam kepala lelaki zaman sekarang. Sudah tahu perempuan zaman ini bukan lagi lemah lembut macam zaman dulu-dulu, masih juga berani main api.
Dua minggu lalu, kecoh di Johor apabila seorang wanita nekad memotong alat sulit teman lelakinya akibat cemburu apabila mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri di negara asal.
Di Melaka pula, seorang janda telah membaling pasu ke muka bekas kekasih hingga cedera parah selepas dicederakan lelaki itu. Dua kes berbeza tapi mesejnya sama, jangan cari pasal dengan perempuan.
Zaman sekarang kalau perempuan marah, jangan pandang enteng. Kadang tangan yang lembut itulah yang baling telefon, pecahkan cermin kereta atau lebih ngeri, capai pisau dapur. Ada juga yang tiba-tiba boleh berubah jadi Hulk.
Namun jangan pula kita ambil jalan mudah menuduh perempuan makin ganas. Sebenarnya ini cerminan betapa hubungan manusia hari ini semakin rapuh dan dipenuhi amarah. Media sosial, tekanan hidup, cemburu tanpa batas, keganasan rumah tangga semua jadi bahan bakar kepada kemarahan yang akhirnya meletup tanpa sempadan.
Kalau diteliti, banyak tragedi bermula daripada hal kecil, mesej dibaca tapi tak balas, keluar dengan kawan lama atau sekadar janji makan malam yang dilupakan.
Merak Jalanan bukan hendak bela sesiapa, tapi mahu ingatkan semua, sayang itu bukan lesen untuk menyakiti dan jangan sesekali curang antara satu sama lain.
Nasihat buat kaum lelaki, kalau tahu pasangan sedang marah, janganlah tambah minyak petrol bersubsidi. Kadang-kadang diam lebih selamat daripada berdebat. Mengalah tak bererti kalah. Kalau dulu orang kata perempuan jangan dibuat main, hari ini Merak Jalanan tambah satu lagi, kalau tak mahu cedera, jangan cari pasal dengan perempuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
