MARRIS kekal jadi mekanisme utama selenggara jalan luar bandar – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika hadir pada majlis berkenaan di Lipis pada Khamis.
Ahmad Zahid ketika hadir pada majlis berkenaan di Lipis pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan mengekalkan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk menjadi mekanisme utama bagi penyelenggaraan jalan luar bandar di bawah tanggungjawab kerajaan negeri selepas siap dibina oleh kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu mencerminkan keutuhan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memastikan jaringan jalan luar bandar sentiasa berada dalam keadaan baik serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Majlis penyerahan dokumen yang disaksikan oleh Ahmad Zahid (berdiri, tengah).
Majlis penyerahan dokumen yang disaksikan oleh Ahmad Zahid (berdiri, tengah).

"Projek Jalan dan Jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela sepanjang 17.5 kilometer menjadi bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar serta mempertingkat kesejahteraan rakyat.

“Pembinaan jalan ini bukan sekadar menghubungkan beberapa kawasan, tetapi mengubah kehidupan. Perjalanan yang sebelum ini sejauh 60 kilometer kini dipendekkan kepada hanya 17 kilometer, menjimatkan masa hampir 45 minit setiap hari,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan dan Jambatan dari Kampung Labu melalui Kampung Batu Balak, Jerantut ke Kampung Gemunchur dan Kampung Mela di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lipis yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, projek berkenaan turut memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan desa.

Artikel Berkaitan:

“Dengan siapnya projek ini, kampung-kampung seperti Mela, Gemunchur, Batu Balak dan Labu kini lebih mudah diakses. Ia membuka ruang rezeki baharu serta menarik minat anak muda untuk terus membina masa depan di kampung halaman.

"Saya juga melihat laluan ini sebagai koridor pelancongan utama negeri Pahang, menghubungkan Taman Negara Kuala Tahan di Jerantut hingga ke Tanah Tinggi Cameron Highlands melalui Kuala Lipis dan seterusnya ke Genting Highlands," ujarnya.

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan di Lipis pada Khamis.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) ketika hadir pada majlis berkenaan di Lipis pada Khamis.

Beliau berkata, laluan itu juga bakal menjadi laluan strategik yang memperkenalkan keindahan alam dan budaya Pahang kepada dunia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa puas hati apabila projek berkenaan bukan sahaja disiapkan mengikut jadual, malah menjimatkan RM4 juta daripada peruntukan asal.

"Kos sebenar hanya RM157 juta berbanding RM161 juta yang diluluskan. Penjimatan ini menunjukkan kecekapan semua pihak dalam melaksanakan projek dengan penuh integriti dan tanggungjawab terhadap amanah rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pembinaan jalan dan jambatan sepanjang 200 meter yang merentasi Sungai Tembeling bukan tugas mudah, namun usaha gigih semua pihak akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan.

“Yang lebih penting, projek ini disiapkan mengikut standard dan kualiti yang ditetapkan. Inilah kehendak rakyat, pembangunan yang bukan sahaja siap, tetapi siap dengan baik, telus dan berintegriti,” jelasnya.

Menurut Ahmad Zahid, projek berkenaan turut mencapai semua Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk penggunaan tenaga hijau, sifar kecederaan serta penyerahan projek dalam tempoh tiga bulan selepas CPC (Certificate of Practical Completion).

“Dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita tidak sekadar mengejar KPI kerajaan, tetapi juga KPI rakyat. Inilah ukuran sebenar kepercayaan mereka terhadap kita,” kata beliau.

Tegasnya, meskipun kerajaan berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan ekonomi global, kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan.

"Inilah semangat Kerajaan Madani, semangat yang tidak goyah walau diasak cabaran, kerana pada akhirnya yang ingin kita lindungi ialah kesejahteraan hidup rakyat di seluruh pelosok negara,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM12.4 bilion kepada KKDW, peningkatan RM440 juta atau 3.69 peratus berbanding tahun ini.

Katanya, sebanyak RM7.78 bilion disalurkan khusus bagi melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan, bekalan elektrik, air, telekomunikasi dan kemudahan sosial yang memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa di seluruh negara.

“Pembangunan infrastruktur ini bukan semata-mata membina jalan dan jambatan, tetapi membina masa depan. Dengan jalan yang baik, rakyat dapat keluar bekerja, berniaga, mengakses peluang ekonomi, malah pulang menziarahi keluarga dengan lebih mudah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!