Al-Amin Darul Musthofa dinobat Tadika Islam Terbaik di MESA 2025

PETALING JAYA – Dunia pendidikan awal kanak-kanak sekali lagi menyaksikan kejayaan membanggakan apabila Al-Amin Darul Musthofa Early Childhood Centre (AADMECC) dinobat sebagai Tadika Islam Terbaik (Batu Caves) dalam Malaysia Education Star Awards (MESA) 2025 yang berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya baru-baru ini.
Pengiktirafan ini menyusul selepas pencapaian cemerlang tahun sebelumnya apabila AADMECC turut menerima pengiktirafan sebagai Qualifier for The Best Preschool of The Year 2024 oleh Private Education Entrepreneur Association of Malaysia (PEEAM).
Dua tahun berturut-turut menerima anugerah berprestij ini membuktikan AADMECC semakin dikenali sebagai antara tadika Islam terbaik di Malaysia.
Pendidikan Awal Berteraskan Nilai Islam
Ditubuhkan pada tahun 2016 di bawah naungan Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad (PPAB), tadika ini berperanan sebagai pusat pendidikan Islam awal yang menekankan keseimbangan antara ilmu, akhlak dan keriangan.
AADMECC menggunakan gabungan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan pendekatan Montessori Islamik, memberi fokus kepada perkembangan intelek, spiritual, emosi dan sosial anak-anak.
Pendekatan dwibahasa (Bahasa Melayu & Inggeris) dan pendedahan kepada kemahiran abad ke-21 menjadikan AADMECC antara tadika Islam moden dan progresif di Lembah Klang. Menariknya, AADMECC bukan sahaja menjadi pilihan penduduk Batu Caves, tetapi juga ibu bapa dari kawasan sekitar seperti Rawang, Sentul, Gombak, Selayang, Gombak Setia, Sungai Tua, Danau Kota, Setapak, Kepong, Keramat, Taman Melati dan Taman Batu Muda — menjadikan pusat ini antara tadika Islam paling dipercayai di kawasan Lembah Klang Utara.
Keunikan & Kekuatan Tadika Islam Al-Amin Darul Musthofa
AADMECC menonjol dengan pendekatan pendidikan yang menyeluruh dan berpaksikan nilai Islam melalui kurikulum holistik dan bersepadu yang merangkumi akademik, ICT, fonik, hafazan Quran, doa dan adab. Pembelajaran disemarakkan dengan aktiviti Islamik menyeronokkan seperti Circle Time, Tiny Talents Talk, Islamic Way of Life dan Sirah Rasul & Solawat bagi membentuk keyakinan, akhlak mulia dan mencungkil bakat anak-anak sejak usia awal.
Dilengkapi kemudahan moden seperti makmal ICT, perpustakaan, kelas berhawa dingin serta taman permainan dalaman dan luaran, AADMECC turut memperkaya pengalaman pembelajaran murid melalui aktiviti ko-kurikulum tambahan seperti Eksplorasi Sains dan Matematik, aktiviti memasak, seni dan kraf, penerokaan alam dan ekosistem, seni persembahan, serta Taekwondo.

Nilai & Semangat Di Sebalik Kejayaan

“Alhamdulillah, kemenangan ini adalah hasil doa dan usaha semua pihak. Guru-guru mendidik dengan penuh kasih sayang, ibu bapa setia menyokong, dan anak-anak menjadi sumber inspirasi kami. Pengiktirafan ini seiring dengan tagline kami, Guiding Little Hearts with Love, Faith & Fun (Membimbing Hati Si Kecil dengan Kasih, Iman & Keriangan). Inilah yang kami terapkan setiap hari – kasih dalam layanan, iman sebagai asas, dan keriangan dalam setiap pembelajaran,” jelas Teacher Nur Diyana, Pengurus Tadika Islam Al-Amin Darul Musthofa.
Guru Besar Al-Amin Darul Musthofa, Puan Shalhah Abdul Rahman, menyifatkan kejayaan ini sebagai cerminan kasih dan keikhlasan seluruh warga pendidik AADMECC dalam memahami hati anak-anak kecil yang sedang bertatih mengenal dunia ilmu.

“Di Al-Amin Darul Musthofa, kami percaya setiap anak itu kurniaan istimewa. Mereka datang dengan jiwa yang suci dan emosi yang halus — dan di sinilah tugas kami untuk menyuburkan kedua-duanya. Kami tidak hanya mengajar membaca dan menulis, tetapi juga mendidik dengan hati, agar anak-anak ini membesar dengan keyakinan, ketenangan dan kecintaan kepada ilmu serta Islam,” ujar beliau dengan penuh syukur.
Harapan Ke Hadapan
Pengiktirafan di MESA 2025 menjadi bukti bahawa tadika Islam berkualiti mampu bergerak seiring dengan arus pendidikan moden. AADMECC bertekad untuk terus memperkukuh kurikulum Islamik serta membina sahsiah dan kepimpinan anak-anak sejak usia prasekolah, sekali gus menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak lain bahawa pendidikan berasaskan kasih, iman dan keriangan mampu melahirkan generasi unggul dunia dan akhirat.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 013-2347310 atau melayari laman rasmi sekolah di darulmusthofa.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
