Waran tangkap terhadap menantu Muhyiddin sudah dikeluarkan - KPN

Mohd Khalid mengadakan sidang media selepas menghadiri raptai delegasi menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Foto Bernama
Mohd Khalid mengadakan sidang media selepas menghadiri raptai delegasi menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan telah dikeluarkan dan tindakan susulan kini sedang dijalankan bersama pihak berkuasa luar negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa individu berkenaan berada di luar negara dan usaha sedang diteruskan bagi tindakan lanjut.

“Tapi apa pun, semua sedia maklum bahawa beliau berada di luar negara. Kita telah mengeluarkan waran tangkap sebelum ini.

“Jadi, terdapat tindakan-tindakan yang sedang kita laksanakan dan memerlukan bantuan daripada negara yang berkaitan. Insya-ALLAH, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus; dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang mendakwa Muhammad Adlan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara di Asia Barat sejak melarikan diri lebih dua tahun lalu.

Menjawab pertanyaan sama ada PDRM menerima maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung permohonan notis merah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khalid menjelaskan bahawa pihaknya belum menerima sebarang perkembangan.

“Setakat ini, kita tidak terima apa-apa lagi. Mungkin SPRM boleh menjawab persoalan itu,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat telah menghubungi Muhammad Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke Ibu Pejabat SPRM.

“Apabila Adlan gagal hadir, SPRM mengambil beberapa tindakan termasuk mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret Shah Alam pada 7 September 2023, selain memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menyerahkan dokumen penuh kepada Interpol pada Oktober 2023.

“Selain itu, SPRM juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023, serta mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025,” katanya.

Muhammad Adlan dikehendaki oleh SPRM bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa luar negara untuk tindakan susulan
  • Muhammad Adlan dilaporkan berada di luar negara dan menjalani kehidupan mewah di Asia Barat sejak lebih dua tahun lalu
  • PDRM belum menerima maklum balas daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung permohonan notis merah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
  • SPRM mula menyiasat Adlan pada 13 Mac 2023 dan telah menghubungi beliau berkali-kali antara Mei hingga Ogos 2023
  • Adlan dikehendaki oleh SPRM bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!