Gudang haram proses arak tiruan digempur

Siti menunjukkan antara botol minuman keras yang dirampas JKDM pada 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Siti menunjukkan antara botol minuman keras yang dirampas JKDM pada 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

DENGKIL – Sebuah gudang haram memproses arak tiruan yang menggunakan tenaga kerja pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan perindustrian Rawang, Selangor, digempur baru-baru ini.

Serbuan kira-kira jam 11.05 pagi pada 15 Oktober lalu itu dijalankan oleh Cawangan Risikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Putrajaya bersama Unit Siasatan Frod Perdagangan Cawangan Siasatan dengan bantuan pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Siti Mang berkata pihaknya telah merampas sebanyak 8,869.40 liter arak tiruan dengan nilai RM418,000, melibatkan duti dan cukai melebihi RM1.1 juta.

Siti menunjukkan peralatan memproses minuman keras tiruan yang dirampas JKDM pada 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Siti menunjukkan peralatan memproses minuman keras tiruan yang dirampas JKDM pada 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Pasukan serbuan turut menemui botol-botol yang dilekatkan dengan label pelbagai jenama, selain empat gulung setem cukai kastam disyaki palsu, tiga mesin pemasang penutup, pelekat label pelbagai jenama serta kotak bungkusan.

"Terdapat juga alatan yang digunakan untuk pemprosesan minuman keras secara haram termasuk enam tong berisi cecair disyaki etanol (bahan utama penghasilan minuman keras)," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Dengkil di sini pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 11 lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an hingga 40-an telah ditahan.

Tambahnya, semakan awal mendapati seorang daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan diri manakala selebihnya gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Artikel Berkaitan:

Siti menunjukkan label yang digunakan pada minuman keras tiruan yang dirampas JKDM 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Siti menunjukkan label yang digunakan pada minuman keras tiruan yang dirampas JKDM 15 Oktober lalu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Mereka ini merupakan pekerja dan kita masih menyiasat sejak bila premis ini aktif dan siapa dalang yang terlibat.

"Kegiatan ini beroperasi di premis tanpa papan tanda dan kita percaya minuman keras tiruan ini untuk pasaran tempatan berdasarkan bukti penemuan label," ujarnya.

Tegasnya, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain, serta diingatkan agar tidak terlibat dalam kegiatan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 74 Akta Eksais 1976.

Ringkasan AI

  • Gudang haram memproses arak tiruan digempur di kawasan perindustrian Rawang, Selangor
  • Serbuan dilakukan oleh JKDM dan Unit Siasatan Frod Perdagangan dengan bantuan pasukan Cobra
  • Sebanyak 8,869.40 liter arak tiruan dirampas bernilai RM418,000 dan melibatkan duti serta cukai melebihi RM1.1 juta
  • Sebelas lelaki warga asing ditahan dalam operasi tersebut
  • Kegiatan ini didakwa untuk pasaran tempatan tanpa papan tanda premis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!