Thailand, Kemboja dijangka tandatangan penyelesaian konflik sempadan di Sidang Kemuncak ASEAN

Anwar bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Anwar bercakap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pemeteraian penyelesaian konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, menandakan kejayaan besar usaha diplomasi Malaysia dalam memupuk keamanan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majlis bersejarah itu turut akan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali gus mengiktiraf peranan aktif Malaysia sebagai negara pendamai di bawah kepengerusian ASEAN 2025.

Menurutnya, rundingan bagi meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu telah dijalankan beberapa kali di Malaysia dengan penglibatan peringkat tertinggi termasuk ketua angkatan bersenjata dan menteri luar kedua-dua negara.

“Bukan saja pertemuan yang saya pengerusikan sekali tetapi sudah beberapa kali di Malaysia antara ketua-ketua pasukan bersenjata Thailand dan Kemboja serta menteri-menteri luar di Kuala Lumpur.

“Baru-baru ini, Menteri Pertahanan kedua-dua negara juga telah memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, majlis pemeteraian akan disaksikan oleh saya dan Presiden Trump,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Julai lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat bagi menghentikan ketegangan di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.

Kejayaan diplomatik itu turut disaksikan sendiri Anwar selaku Pengerusi ASEAN dalam Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, disertai Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

Anwar menegaskan, langkah ini membuktikan pendekatan rundingan dan diplomasi berprinsip yang menjadi tunjang kepada dasar ASEAN mampu membuahkan hasil positif dalam menangani konflik serantau.

“Apabila berlaku konflik Thailand dan Kemboja, kita ambil inisiatif hubungi mereka dan mereka menyambut baik. Kita ajak mereka datang ke Kuala Lumpur dan akhirnya ada persetujuan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak katakan ini ikhtiar Malaysia sahaja, tetapi hasil kerjasama erat ASEAN dan rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat,” jelasnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober ini, menghimpunkan lebih 30 ketua negara dan kerajaan bagi membincangkan isu keamanan, ekonomi dan pertumbuhan inklusif serantau di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Ringkasan AI

  • Penyelesaian konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur
  • Majlis bersejarah itu akan disaksikan oleh Presiden AS, Donald Trump, mengiktiraf peranan Malaysia sebagai negara pendamai
  • Rundingan antara Thailand dan Kemboja melibatkan peringkat tertinggi termasuk ketua angkatan bersenjata dan menteri luar kedua-dua negara
  • Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebelum ini
  • Kejayaan diplomasi ini membuktikan pendekatan rundingan dan diplomasi ASEAN dalam menangani konflik serantau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!