Covid-19: Lelaki dipenjara tiga bulan halang tugas penjawat awam

Laporan Sinar Harian Online 20 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian Online 20 Mac lalu.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan susulan wabak koronavirus (Covid-19) minggu lalu.

Tertuduh, J Jonathan, 24, yang bekerja sebagai juruteknik membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud hendak menahan atau menakutkan penjawat awam.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh menggunakan perkataan kurang sopan atau berkelakuan dengan cara mengugut dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan halang tugas polis ketika Ops Covid-19

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, sabit kesalahan denda tidak melebihi RM100.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan pada 19 Mac 2020 kira-kira 1.30 pagi di pantai berhampiran Banglo PKNS Batu 9, Jalan Pantai Teluk Kemang di Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.