Langkah awal hadapi Monsun Timur Laut

Malaysia perlu melihat monsun bukan sekadar ancaman tetapi juga peluang untuk memperkukuh daya tahan negara terhadap bencana alam. Gambar hiasan
Malaysia perlu melihat monsun bukan sekadar ancaman tetapi juga peluang untuk memperkukuh daya tahan negara terhadap bencana alam. Gambar hiasan
A
A
A

SETIAP tahun, Malaysia berdepan kitaran cuaca tahunan yang sudah sinonim dengan istilah banjir monsun. Monsun Timur Laut yang lazimnya bermula pada November hingga Mac 2026 membawa hujan lebat berterusan, khususnya di negeri timur Semenanjung dan sebahagian Sabah serta Sarawak.

Fenomena itu tidak sekadar ujian kepada infrastruktur negara, malah turut menguji kesiapsiagaan kerajaan, agensi keselamatan dan masyarakat setempat.

Dari sudut geografi, negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak ialah kawasan paling terkesan kerana kedudukannya berhadapan Laut China Selatan. Taburan hujan tinggi akan meningkatkan risiko banjir besar, tanah runtuh dan gangguan kepada ekonomi setempat.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangka impak kali ini tidak seteruk tahun-tahun sebelumnya. Namun, kerajaan tetap mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi – satu pendekatan yang dilihat pragmatik.

Dalam konteks pengurusan bencana di Malaysia, kesiapsiagaan bukan hanya bermaksud menyediakan bantuan selepas banjir berlaku tetapi melibatkan strategi menyeluruh bermula daripada perancangan logistik, penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) hinggalah ke pengurusan komunikasi krisis.

Pengalaman banjir besar di Kelantan pada 2014 dan Pahang (2021) membuktikan faktor paling kritikal bukan sekadar ramalan cuaca, tetapi kecekapan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Persediaan komprehensif kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mula menggerakkan pelan kesiapsiagaan sejak awal September.

Antara fokus utama ialah penyelarasan PPS, pengagihan bekalan makanan asas dan pengaktifan pasukan mencari dan menyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain itu, aset seperti bot, kenderaan pacuan empat roda dan helikopter diletakkan dalam keadaan sedia. Malah, tahap kesiapsiagaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dipertingkatkan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, antara usaha dilakukan termasuk menerusi pemasangan 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit GNSS (Global Navigation Satellite System) untuk memantau cerun berisiko.

Bagi menghadapi Monsun Timur Laut kali ini, tumpuan wajar diberikan kepada penggunaan data ramalan cuaca secara real time dan sistem amaran awal komuniti.

Negara jiran seperti Thailand dan Filipina telah menunjukkan keberkesanan sistem amaran berasaskan telefon pintar serta siren komuniti yang dapat mengurangkan kadar kematian semasa bencana.

Malaysia juga perlu memperkukuh mekanisme tersebut agar tidak lagi bergantung semata-mata kepada pengumuman media arus perdana.

Cabaran persediaan tidak hanya bergantung pada agensi kerajaan, sebaliknya masalah infrastruktur seperti sistem perparitan tidak sempurna, pembangunan tidak terkawal di kawasan rendah dan kelewatan kerja mitigasi banjir menjadikan impak monsun lebih serius.

Dari perspektif ekonomi, kerugian akibat banjir monsun mencecah ratusan juta ringgit saban tahun. Banjir besar pada Disember 2021 yang melanda Semenanjung mengakibatkan kerugian sebanyak RM6.1 bilion (Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia).

Ia jelas membuktikan bahawa impak monsun tidak hanya bersifat bencana alam semata-mata, malah turut menjejaskan rantaian bekalan, sektor pertanian, pendidikan dan aspek kesihatan awam.

Persediaan masyarakat pula sering menjadi faktor penentu keberkesanan pengurusan bencana. Kempen kesedaran mengenai pentingnya menyimpan dokumen penting di tempat selamat, menyediakan kit kecemasan keluarga dan mengikuti amaran awal MetMalaysia perlu digiatkan.

Namun, sikap menunggu saat akhir untuk berpindah atau enggan meninggalkan rumah dilihat masih wujud, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada pasukan penyelamat.

Monsun Timur Laut bukan lagi kejutan baharu buat negara, sebaliknya ia cabaran tahunan yang menuntut langkah proaktif, bersepadu dan jangka panjang.

Justeru, Malaysia perlu melihat monsun bukan sekadar ancaman tetapi juga peluang untuk memperkukuh daya tahan negara terhadap bencana alam dan persediaan awal sememangnya dilihat sebagai pertahanan terbaik.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!