Selangor laksana langkah mitigasi hadapi cuaca panas

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor sedang melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi menghadapi fenomena cuaca panas tahap berjaga-jaga yang semakin kerap dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, cuaca panas dan kering yang melanda kebelakangan ini adalah kesan perubahan kepada Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei dan dijangka berterusan sehingga September 2025.
“Walaupun negeri ini masih berada dalam keadaan terkawal dengan jangkaan kelembapan dan hujan dalam lingkungan purata.
"Kerajaan negeri tetap komited memantau perkembangan cuaca secara sistematik dengan kerjasama MetMalaysia,” katanya ketika menjawab soalan Lim Yi Wei (PH – Kampung Tunku) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pemantauan dan penyebaran maklumat cuaca akan terus dilaksanakan kepada agensi berkaitan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, selain menyelaras pelaksanaan operasi pembenihan awan bagi menangani isu kekurangan air akibat kemarau.
“Selain itu, kempen kesedaran awam juga dijalankan bagi memberi maklumat berkaitan risiko cuaca panas terhadap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Jamaliah berkata, antara langkah lain diambil termasuk pengurusan sumber air dan infrastruktur, pemantauan paras empangan secara berterusan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta kawalan kebakaran hutan tanah gambut.
Sementara itu, Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (Selangor Climate Adaptation Centre – SCAC) akan bertindak sebagai agensi penggerak strategik dalam membina daya tahan negeri terhadap fenomena cuaca ekstrem.
“SCAC kini sedang membangunkan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Peringkat Tempatan yang melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), selain merangka dasar dan program kecekapan tenaga bangunan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),” katanya.
Beliau berkata, SCAC juga akan menjalin kerjasama dengan institusi penyelidikan dan pihak swasta bagi meneroka sistem pemantauan yang lebih inovatif serta mengkaji risiko gelombang haba dan musim kering akibat perubahan iklim.
“Melalui kerjasama strategik ini, kita berharap dapat meningkatkan akses kepada dana serta kepakaran teknikal bagi melaksanakan lebih banyak projek fizikal, pembangunan kapasiti dan latihan di Selangor,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

