Suami cerai isteri selepas jadi pegawai kerajaan

Kisahnya Imelda menjadi tular di seluruh Aceh. Foto Agensi
Kisahnya Imelda menjadi tular di seluruh Aceh. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Seorang wanita di Aceh Singkil berdepan detik paling memilukan dalam hidupnya apabila diceraikan suaminya hanya dua hari sebelum lelaki itu dilantik secara rasmi sebagai pegawai kerajaan di bawah Jabatan Penguat Kuasa Tempatan (Satpol PP).

Mangsa, Imelda Safitri, yang juga ibu kepada dua orang anak, menerima lafaz cerai pada 15 Ogos 2025, manakala surat pelantikan suaminya sebagai pegawai kerajaan dikeluarkan pada 17 Ogos 2025, dua peristiwa yang berlaku dalam tempoh singkat namun meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupannya.

Selepas diceraikan, Imelda pulang ke kampung halamannya di Kampung Siti Ambia, daerah Singkil, bersama dua anak perempuannya yang masih kecil.

Rakaman video yang memaparkan detik pemergiannya menaiki van Mitsubishi L300 berwarna merah jambu menjadi tular dan mengundang simpati ramai pengguna media sosial.

Dalam rakaman tersebut, sekumpulan wanita kampung dilihat mengiringi Imelda sambil menangis, memeluk dan mencium dia dengan penuh emosi.

Suasana hiba itu menggambarkan rasa kasih dan simpati penduduk terhadap nasib yang menimpa wanita berkenaan.

Menurut laporan media tempatan, Imelda kelihatan tidak mampu menahan kesedihan sepanjang perjalanan.

“Sampai duduk di kerusi penumpang hadapan pun, dia masih menangis dengan mata yang bengkak,” lapor media berkenaan menggambarkan suasana haru itu.

Tangisan turut kedengaran daripada wanita-wanita yang menghantarnya pulang, malah ada yang menjerit kesedihan apabila mengenangkan nasib janda muda itu yang ditinggalkan hanya dua hari sebelum suaminya bergelar penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Kekecewaan Imelda turut dizahirkan menerusi beberapa hantaran di Facebook, di mana dia meluahkan isi hati tentang tindakan bekas suaminya yang dianggap mengkhianati pengorbanannya.

“Jika dia sudah tidak berasa sesuai dengan saya, mengapa dia masih bertahan? Saya masih sanggup berkorban membelikan pakaian seragam uniform rasmi Korps Pegawai Republik Indonesia (KORPRI) untuknya dan itu pun atas permintaannya sendiri,” tulisnya.

Dalam hantaran lain, Imelda meluahkan rasa terkilan apabila kesetiaannya tidak dihargai.

“Dulu dia datang melamar saya di hadapan ibu bapa saya. Kami sama-sama memulakan hidup dari bawah, saya turut membantu mencari rezeki untuk keluarga.

"Tetapi selepas dia lulus sebagai pegawai kerajaan dan menerima surat pelantikan, kami ditinggalkan. Kini dia pulang dengan bangga ke rumah orang tuanya, seolah-olah derita kami tidak bermakna,” katanya.

Difahamkan, Imelda dikenali sebagai wanita berdikari dan tabah. Walaupun suaminya sebelum ini hanya berkhidmat sebagai pegawai sambilan Satpol PP daerah Singkil, Imelda tetap berusaha membantu keluarga dengan menjual sayur-sayuran serta berniaga dalam talian bagi menambah pendapatan rumah tangga.

Kisahnya kini menjadi tular di seluruh Aceh dan mencetuskan perdebatan mengenai erti kesetiaan, kejujuran serta pengorbanan seorang isteri di tengah-tengah tekanan hidup yang semakin mencabar. - Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang wanita di Aceh Singkil diceraikan suaminya dua hari sebelum suami dilantik sebagai pegawai kerajaan
  • Imelda Safitri, ibu kepada dua anak, pulang ke kampung halamannya dengan kedua anaknya setelah diceraikan
  • Video perpisahan Imelda menjadi tular, menunjukkan emosi dan simpati penduduk kampung
  • Imelda kelihatan sangat sedih sepanjang perjalanan pulang, menurut laporan media
  • Kisah Imelda Safitri memicu perdebatan tentang kesetiaan dan pengorbanan seorang istri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!