Covid-19: Thailand catat empat kematian setakat ini

Thailand melaporkan tiga lagi kematian akibat koronavirus (Covid-19) -Foto: Xinhua
Thailand melaporkan tiga lagi kematian akibat koronavirus (Covid-19) -Foto: Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan tiga lagi kematian akibat koronavirus (Covid-19) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan empat kematian dan kes yang disahkan sebanyak 827.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam Thaweesilp Wissanuyothin berkata, tiga lelaki warga Thailand yang maut membabitkan seorang pengajar 'Muay Thai' berusia 79 tahun, turut menghidapi beberapa penyakit kronik, seorang pemandu bas berusia 70 tahun, yang mempunyai penyakit batuk kering (tuberculosis) dan seorang pesakit kencing manis berusia 45 tahun.

"Sebanyak 106 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 827 kes dengan empat kes kritikal,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pengurusan Covid-19 di Rumah Kerajaan di sini.

Thaweesilp berkata, daripada 106 kes tersebut, 25 kes berkaitan dengan jangkitan terdahulu di mana 12 daripadanya mempunyai kontak rapat dengan kes yang telah disahkan, enam telah mengunjungi tempat hiburan, lima menghadiri perlawanan Muay Thai dan dua dari Pattani, selatan Thailand, yang telah menghadiri perhimpunan agama di sebuah masjid di Malaysia.

Beliau berkata, 20 kes baharu (12 warga asing dan lapan warga Thai) telah berkunjung ke luar negara; 10 bekerja di kawasan yang sesak serta mempunyai kontak dengan warga asing serta empat kakitangan penjagaan kesihatan, dari Phuket, Yala, Buriram dan wilayah Nakhon Pathom, telah dijangkiti selepas pesakit tidak mendedahkan kebenaran ketika mendapatkan rawatan di hospital.

"Kes baharu yang lain adalah daripada kluster yang tidak dikenal pasti dan sumber jangkitan sedang disiasat oleh pihak berkuasa," katanya.

Thaweesilp berkata, daripada 827 kes Covid-19, 57 pesakit telah dibenarkan keluar hospital sementara 766 lagi masih berada di hospital.

Thailand telah menutup beberapa tempat awam utama termasuk pusat beli belah di Bangkok dan lima lagi di wilayah berhampiran - Nonthaburi, Pathum Thani, Samut Prakarn, Samut Songkram dan Nakhon Pathom selama 22 hari iaitu dari 22 Mac hingga 12 April bagi mengekang penularan penyakit tersebut.

Artikel Berkaitan:

Penutupan sekolah, universiti dan pusat tuisyen, tempat hiburan dan sukan dari 18 Mac lepas hingga 31 Mac pula dilanjutkan hingga 12 April.

Sementara itu, Pengarah Epidemiologi Jabatan Kawalan Penyakit Dr Walailak Chaifu berkata, kadar jangkitan di Bangkok dianggarkan pada 1:3 dan di wilayah-wilayah, 1:2.

"Sehingga hari ini, kes Covid-19 dilaporkan berlaku di 47 daripada 77 wilayah di negara ini,” katanya dan menambah nisbah pesakit lelaki kepada perempuan adalah 2:1. - Bernama