36 rumah setinggan akan dirobohkan, kerajaan Johor beri lanjutan tempoh pengosongan

JOHOR BAHRU – Seramai 36 keluarga di Kampung Cina Kebun Teh di sini yang mendiami kawasan rizab malaria dan kubur, merayu agar diberikan tempoh lanjutan pengosongan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Cina Kebun Teh, Ling Meng Seng berkata, mereka diberikan tempoh dua minggu untuk mengosongkan rumah setinggan yang didiami sejak 1946.
"Pada 15 Oktober lalu, sebanyak 11 rumah telah dirobohkan oleh pihak berkuasa dan ia melibatkan rumah sewa yang disambung tanpa kelulusan.
"Baki 36 buah rumah lagi kami diberikan masa dalam tempoh 14 hari, kami tidak sempat hendak cari rumah sewa baharu dan berpindah dalam masa terdekat.
"Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan mempertimbangkan rayuan penduduk yang telah lama menetap di sini, iaitu lebih 60 tahun lalu," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Sebelum itu, Meng Seng mewakili penduduk menyerahkan notis rayuan kepada wakil Menteri Besar Johor, Ling Tian Soon.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh pengosongan selama sebulan bermula Rabu.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawa dan Koperasi negeri berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula bagi menjadikan kawasan bandar sebagai zon pembangunan sifar setinggan.
Selain itu, ujarnya, tindakan merobohkan kediaman setinggan itu turut diambil selepas mendapat maklumat menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor bahawa wujudnya penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan berkenaan.
"Tindakan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menambah baik kualiti hidup penduduk setempat dan menghapuskan penempatan setinggan di tengah bandar Johor Bahru.
"Dalam tempoh 30 hari ini, kita akan bantu mereka dapatkan rumah, sama ada dengan membuat permohonan mendapatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau menyewa rumah lain atau berpindah ke rumah keluarga," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,422 rumah setinggan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenal pasti akan dirobohkan termasuklah kawasan setinggan Kampung Melayu Majidee, Jalan Padu Kiri dan Padu Kanan, Larkin serta Kebun Teh.
Ringkasan AI
- JOHOR BAHRU - Seramai 36 keluarga di Kampung Cina Kebun Teh merayu tempoh lanjutan pengosongan
- Mendiami kawasan sejak 1946 dan telah diberi masa 14 hari untuk berpindah
- Kerajaan negeri melanjutkan tempoh pengosongan selama sebulan
- Kawasan itu akan dijadikan zon pembangunan sifar setinggan dan merobohkan kediaman bagi menghapuskan penempatan PATI
- Dalam tempoh 30 hari, kerajaan akan bantu mereka dapatkan rumah baru melalui RMMJ atau menyewa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

