Polis Kelantan bongkar taktik baharu tauke dadah pancing remaja dengan gaya hidup mewah

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan segelintir tauke dadah di negeri ini menjadikan gaya hidup mewah sebagai umpan untuk menarik minat remaja terlibat dalam pengedaran dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kemewahan yang dipamerkan golongan terbabit menyebabkan remaja berasa teruja dan akhirnya menjadikan mereka sebagai idola.
“Mereka (tauke dadah) mempamerkan kemewahan untuk menarik minat remaja. Akhirnya pelajar ini terpengaruh dan mula terlibat secara kecil-kecilan. Apabila melihat hasil lumayan, mereka terus terjebak,” katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad, dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin.
Menurut Mohd Yusoff, pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis dan pemantauan kini sedang dijalankan bagi mengekang gejala tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 12 tangkapan membabitkan pelajar sekolah direkodkan antara Januari hingga September tahun ini kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Daripada jumlah itu, lima pelajar ditahan di Kota Bharu, empat di Tanah Merah, dua di Pasir Mas dan seorang di Bachok,” katanya.
Ringkasan AI
- Polis Kelantan mendedahkan tauke dadah guna gaya hidup mewah tarik minat pelajar sekolah dalam pengedaran dadah
- Kemewahan tauke dadah buat remaja teruja dan jadikan mereka idola
- Pelajar terpengaruh dan mula terlibat dalam pengedaran dadah secara kecil-kecilan
- Pemantauan sedang dijalankan untuk mengekang gejala penyalahgunaan dadah oleh pelajar
- Sebanyak 12 pelajar sekolah ditangkap terlibat dalam penyalahgunaan dadah dari Januari hingga September tahun ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

